Sabtu, 12 November 2016

Awas disiplin - Raja Ahmad

ARKIB : 29/01/1999
HO CHI MINH CITY - Pemain-pemain kebangsaan yang berada di sini untuk Kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill kedua akan terpaksa menanggung masalah besar jika gagal berkelakuan baik di dalam dan luar padang.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mengeluarkan amaran keras itu kerana mahukan setiap pemain mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan mengikuti arahan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.

''Kita di sini sebagai rakyat Malaysia. Saya mahukan setiap pemain mempunyai disiplin tinggi,'' kata beliau pada sesi latihan di sini, semalam.

''Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang tidak berdisiplin,'' kata beliau.

Pasukan Malaysia tiba di sini semalam dan akan membuka tirai perlawanan menentang Bulgaria, esok.

Sementara itu, Rusia meletakkan sasaran untuk menjuarai Kejohanan Piala Dunhill kedua yang menawarkan hadiah wang tunai - AS$130,000 (RM494,000).

''Keadaannya terlalu susah di negara kami dan kejayaan mendapat hadiah wang tunai sungguh bermakna bagi persatuan bola sepak kami,'' kata jurulatih Rusia, Nikolai Khoudeev, semalam.

Selain mengharapkan cepumas itu, beliau juga ingin melihat ketangkasan pemain-pemainnya mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Sydney 2000.

Khoudeev berkata, skuad Rusia ini disediakan untuk Sukan Olimpik tahun depan dan kempen di Eropah sebelum ini menyaksikan dua kejayaan mengalahkan Perancis dan Ireland, kedua-duanya 2-1, dan tewas 1-0 kepada Ukraine.

Kebanyakan pemain skuad Olimpik Rusia ini datangnya dari pasukan Divisyen Satu di negaranya, manakala sebahagian kecil divisyen lebih rendah.

Rusia berada dalam Kumpulan Satu bersama Iran, Vietnam dan Singapura manakala kumpulan lain mengandungi Malaysia, Bulgaria, Korea Selatan dan China.

Rusia membuka tirai kejohanan bertemu Iran, pemenang pingat emas Sukan Asia, hari ini.

Khoudeev mendapati keadaan cuaca di sini sebagai musuh utama pasukannya yang datang dari negara sejuk. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Prantvb4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan