Sabtu, 12 November 2016

Rahman senang dengan muka baru

ARKIB : 28/01/1999
NAMA bekas pemain negara yang berpengalaman luas seperti Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, Khairul Azman Mohamad dan Dollah Salleh tidak akan tersenarai dalam perancangan jangka panjang jurulatih bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sebaliknya tumpuan Rahman selepas menyudahi misi Piala Dunhill di Vietnam yang berakhir 7 Februari, lebih terarah kepada beberapa pemain skuad Olimpik 2000 dan muka baru sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Ternyata Rahman kini mengambil langkah eksperimen yang berani untuk mencuba pendekatan baru tanpa mengira sebanyak mana penampilan antarabangsa milik pemain tersebut biarpun ia tetap merupakan suatu aset.

Ini juga bermakna senarai 18 pemain ke kejohanan di Vietnam bermula esok, tidak akan terlepas daripada bersaing semula dengan pelatih baru sebelum menggalas tugasan lebih besar - Sukan SEA XX Brunei, Ogos depan.

''Saya sudah cukup arif dengan kerenah orang lama. Jadi, tidak perlu memanggil mereka semula. Tumpuan selepas ke Vietnam adalah untuk memilih lebih ramai pemain yang berusia bawah 25 tahun,'' tegasnya yang bergelar penolong jurulatih skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Sebelum ini, sudah menjadi resam jurulatih kebangsaan terdahulu untuk memanggil semula tenaga veteran dengan alasan mampu membantu mereka yang kurang pendedahan antarabangsa.

Bagaimanapun barisan 18 anak didik Rahman ke Vietnam turut diwakili beberapa pemain yang menerima tempias aib Sukan SEA XIX Jakarta 1997 kerana tumbang kepada pasukan kerdil Laos 0-1, antaranya K. Sanbagamaran, Zami Mohd. Noor, B. Rajnikandh dan Faizal Zainal.

''Saya tidak menolak kemungkinan jika sekurang-kurangnya lima pemain skuad Olimpik 2000 turut tersenarai dalam perancangan ke Sukan SEA selepas ini,'' katanya di Kelana Jaya, semalam sejurus sebelum berlepas ke Bandar Raya Ho Chi Minh.

Bekas jurulatih Terengganu itu bagaimanapun tidak mahu disalah anggap sebagai merendahkan kemampuan jurulatih Olimpik 2000, Hatem Souissi dan anak buahnya dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik, Jun ini.

''Bukan bermakna Hatem dan pasukannya tidak bagus tetapi kita perlu realistik dengan lawan seperti Jepun dalam kumpulan mereka itu.

''Mungkin selepas mereka selesai dengan tugas mereka, banyak pilihan pemain yang dapat digunakan semula dalam persediaan ke Sukan SEA,'' jelasnya lagi.

Tanpa sasaran ditetapkan pada Piala Dunhill, Rahman juga menegaskan, skuad negara ke Vietnam hanyalah dengan membawa hasrat memulihkan kedudukan Malaysia yang terperosok ke tangga 113 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

''Tujuan utama kita di Vietnam ialah memperbaiki kedudukan itu. Namun saya yakin pemain bebas daripada sebarang tekanan walaupun peminat seluruh negara lebih mementingkan keputusan,'' katanya.

Beliau juga berpendapat, buat masa ini belum dapat dicongak strategi atau susunan pemain skuad negara apabila membuka tirai Piala Dunhill dengan menghadapi Bulgaria, Sabtu ini.

''Apa pun, mungkin pilihan yang saya ada untuk pemain menentang Bulgaria ialah corak bertahan sambil menunggu peluang untuk menyerang balas,'' tambah Rahman.

Selain Bulgaria yang menggabungkan tonggak Piala Dunia di Perancis lalu dengan tenaga muda persediaan Olimpik Sydney, menemani Malaysia dalam Kumpulan 2 di Vietnam ialah Korea Selatan dan juara bertahan, China.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrK6fRDR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan