Sabtu, 12 November 2016

Pemain mesti sanggup berkorban - Rahman

ARKIB : 27/01/1999
LATIHAN hampir dua bulan berjaya mencetuskan dua rumusan utama buat jurulatih Abdul Rahman Ibrahim apabila menilai tahap prestasi 24 pemain skuad negara.

Namun Abdul Rahman berpendapat, dua rumusan tersebut tergolong dalam situasi yang berbeza dengan satu bersifat positif dan selebihnya perlu dikikis.

''Kualiti yang baik pada pemain ialah kesediaan mereka berjuang dan bermain untuk negara. Daripada pemerhatian saya, telah wujud rasa bangga pada diri mereka apabila diberi peluang menyarung jersi negara.

''Mereka tidak hiraukan penat lelah lagi sekalipun kurang mendapat rehat yang panjang sejak berakhirnya Liga Malaysia, musim lalu.

''Inilah yang perlu disedari umum jika dibandingkan rakan mereka yang bermain dengan pasukan negeri masing-masing,'' kata Rahman yang turut sentiasa merangsangkan minat anak buahnya tentang soal itu.

Hakikatnya kian jelas ketika semua pemain tetap dikerah menjalani latihan pagi, petang dan malam sekalipun mereka yang beragama Islam turut tekun menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadan lalu.

Skuad negara kembali dibentuk dengan memulakan latihan giat sejak 5 Disember lalu selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membubarkannya akibat gagal ke separuh akhir Sukan SEA XIX Jakarta, dua tahun lalu.

Rahman sendiri mengakui, sebarang pemain yang bertaraf profesional memang tidak dapat lari daripada bersedia untuk berkorban lebih daripada kebiasaan.

''Lebih banyak pengorbanan, lebih tinggi taraf profesional mereka,'' tegasnya sambil menaruh keyakinan anak buahnya sudah cukup dewasa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di dalam dan luar padang.

Bekas jurulatih naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu ini menambah, pemain negara seharusnya mengambil contoh bagaimana pemain asing menunaikan tanggungjawab profesional dalam kerjaya bola sepak mereka.

''Mereka sentiasa didampingi isteri sekalipun ketika sesi latihan. Ini sekali gus menjadikan pemain sentiasa bersemangat untuk terus berjuang di tengah padang,'' jelasnya lagi.

Rahman dalam pada itu sedaya mungkin mahukan anak buahnya membuang terus tabiat lama yang gemar mengumpan bola ke belakang dan enggan mengeluarkan bola segera apabila kubu diancam lawan.

Amalan pasif itu terpapar ketika skuad negara menang 1-0 ke atas Selangor dan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera pada siri perlawanan persahabatan sebelum berlepas hari ini ke Vietnam.

''Selain itu, saya dapati tiada seorang pemain pun mampu dan berani menggelecek lawan secara individu melainkan semata-mata kembali ke tabiat lama itu dengan umpanan ke belakang,'' tambahnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PrF81OL9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan