Sabtu, 12 November 2016

Pilihan Abd. Rahman


 

ARKIB : 26/01/1999
SUMBANGAN gol oleh V. Saravanan semalam menambat hati jurulatih Abdul Rahman Ibrahim (kiri) untuk dipilih ke Vietnam.

KECUALI P. Saravanan dan Chee Wan Hoe, hampir semua barisan pemain yang berkunjung ke Dubai dikekalkan untuk membawa cabaran negara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill di Vietnam, bermula Jumaat ini.

Pengguguran mereka sebaliknya membuka ruang kepada pemain muda Perak, V. Saravanan untuk meraih cuma satu daripada 18 tiket ke Bandar Raya Ho Chin Minh, esok.

Namun pemilihan Saravanan yang juga bekas pemain skuad Olimpik 2000 itu turut membuktikan bekas gurunya, Hatem Souissi telah membuat kesilapan besar kerana bertindak menggugurkannya tidak lama dulu.

Saravanan sebelum ini tersisih daripada skuad 19 pemain untuk siri tiga perlawanan persahabatan di Dubai menentang Ventsplis, Latvia serta Al Ahli dan Al Shabab dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun kemampuannya menyudahkan umpanan lintang pada perlawanan persahabatan menentang Angkatan Tentera, semalam, tiba-tiba berjaya memikat jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim.

Skuad negara sekadar seri 1-1 dengan Tentera pada perlawanan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya itu.

Bagaimanapun menurut Rahman, P. Saravanan yang sempat merasai aksi Dubai, dalam pada itu didapati belum mencapai tahap yang dikehendakinya sekali gus terpaksa diketepikan.

''Saravanan tampak belum cukup bersedia untuk didedahkan dengan aksi antarabangsa. Apa pun, dia diakui memiliki kemahiran yang bagus dan masa depannya juga masih panjang,'' kata Rahman.

Manakala nasib Wan Hoe turut berubah apabila menyertai Idris Karim, Yap Wai Loon, Hadi Tahir, Nazri Yunos, Syamsol Saad yang masing-masing diketepikan dari Dubai kerana masalah peribadi dan kecederaan.

''Idris dan Wai Loon akan berkahwin. Nazri dan Syamsol masih cedera dan ia kurang adil untuk memilih Hadi sedangkan kita ke Dubai dengan dua penjaga gol, Zuraimi dan Azmin,'' katanya lagi.

Ujarnya, pemain Selangor, Nazzab Hidzan yang kembali dipanggil selepas cuti Hari Raya hanyalah dengan tujuan membantu sepasukan ketika latihan.

Rahman bagaimanapun masih kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya menentang Tentera itu yang tidak jauh berbeza ketika mereka menewaskan Selangor 1-0, Sabtu lalu.

''Masing-masing mahu ke Vietnam dan tidak hairan mereka sentiasa cuba mengelak daripada tercedera hari ini (semalam).

''Bahaya kalau kita bermain sebegini apatah lagi akan menentang Bulgaria di Vietnam nanti,'' tegas bekas jurulatih yang membantu Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Tambahnya, prestasi pemain di sini tidak seperti di Dubai lalu apabila mereka sentiasa mengikut arahan dan bermain secara sepasukan.

Rahman turut mengakui, belum ada di antara 18 pemain yang dipilihnya buat masa ini memiliki ciri-ciri untuk di ketengahkan sebagai ketua pasukan negara pada Piala Dunhill.

''Tiada gunanya saya melantik ketua pasukan yang tidak disukai oleh kebanyakan pemain lain,'' katanya yang turut menukar ganti penghulu padang bagi setiap perlawanan di Dubai lalu.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PqvSvrak © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan