Sabtu, 12 November 2016

Semangat berani mencuba diutarakan

ARKIB : 25/01/1999
TINGGAL lima hari buat skuad bola sepak negara bangkit melontar jauh amalan pasif seperti menentang Selangor kelmarin sekiranya mahu diakui penyertaan mereka pada Piala Dunhill di Vietnam, bukan sekadar pelengkap jemputan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Seharusnya amalan yang kurang disenangi jurulatih Abdul Rahman Ibrahim itu tidak lagi terpapar sebaik sahaja melayani cabaran Bulgaria pada perlawanan pembukaan Malaysia, Sabtu ini.

Hanya corak berani mencuba sambil mengorak langkah dengan keyakinan padu mampu meletakkan Malaysia kembali sekurang-kurangnya menguasai persada Asia Tenggara sejak peristiwa aib Sukan SEA XIX Jakarta, dua tahun lalu.

Skuad negara tidak sepatutnya membiar diri diajak menyertai corak lembab lawan yang baru cuba mencari keserasian sebagai persediaan Liga Perdana sedangkan mereka baru sahaja beraksi dengan barisan kelab terkemuka Latvia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih merbahaya ialah daya kelangsungan pemain untuk bertahan sehingga minit terakhir menampakkan betapa mereka terlalu mudah mengundang bahaya jika ke Vietnam nanti.

Kelemahan ini sudah terhidu ketika menentang Ventsplis Latvia dan Al-Ahli di Dubai lagi yang membawa bolosan lebih satu gol.

Lawan skuad negara di Bandaraya Ho Chi Minh nanti _ Bulgaria, China dan Korea Selatan dalam kumpulan 2 pasti tidak akan menunjuk ihsan kiranya kelemahan itu kerap terdedah.

Bulgaria mungkin tidak banyak dikenali Malaysia secara dekat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini tetapi corak permainan mutlak pasukan Eropah biasanya mampu mendera lawan dengan jumlah gol yang besar.

Apatah lagi Korea dan China yang kaya dengan kecergasan dan kelebihan susuk tubuh pemainnya, perlu dipandang serius oleh Rahman dengan persediaan secukup mungkin.

Rahman sekalipun 'terusik' dengan mutu permainan tidak menentu anak buahnya kelmarin berbanding kunjungan ke Dubai, baru-baru ini, masih cuba berkompromi dengan alasan pemain masih diselubungi suasana Hari Raya lagi.

Pun begitu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebenarnya perlu lebih profesional dalam perancangannya jika mahukan hasil yang berkesan buat skuad negara.

Meniadakan skuad kebangsaan sejak Sukan SEA Jakarta mungkin suatu bentuk hukuman tegas terhadap tragedi diaibkan Laos, tetapi silapnya ialah usaha yang diatur untuk pemulihan pasukan dibuat seperti tergesa-gesa dan kurang lengkap.

Sebagai tujuan mempamer mutu persembahan yang konsisten, kunjungan ke Dubai patut disusuli siri perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dengan mengundang beberapa pasukan luar.

Pasukan dari kumpulan 1 Piala Dunhill seperti Rusia dan Iran misalnya yang dalam perjalanan ke Ho Chi Minh, mampu diundang untuk siri perlawanan tersebut, bukannya dengan menentang pasukan negeri yang diakui Rahman tidak banyak mendorong kemajuan anak buahnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PqjAsri5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan