Sabtu, 17 Disember 2016

Formula jurulatih Abdul Rahman uji Taiwan

ARKIB : 25/03/2000
PASUKAN bola sepak kebangsaan dan formula jurulatih Abdul Rahman Ibrahim akan diuji apabila berdepan dengan Taiwan pada pusingan kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan bermula di Stadium Shah Alam malam ini.

Jika dilihat kepada ranking semasa, pasukan negara tidak sepatutnya sukar untuk mencatatkan kemenangan. Sekadar rekod, Malaysia ketika ini berada di tangga ke-110 sementara Taiwan di tangga ke-175.

Dua pasukan lain yang turut diletakkan dalam Kumpulan Lapan ialah gergasi Asia Tenggara, Thailand di tempat ke-63 dan Korea Utara yang berada di kedudukan ke-173.

Pasukan negara yang dibentuk sejak akhir Disember tahun lepas disifatkan oleh Abdul Rahman sebagai paling bersedia kali ini.

Abdul Rahman yang memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan tahun lepas telah mengadakan pelbagai program persediaan untuk pasukannya.

Selain menjalani latihan lasak di Port Dickson, skuad negara juga menerima pendedahan di Abu Dhabi dan Singapura.

Mereka juga menentang Maldives dan pasukan-pasukan negeri dalam Liga-M sebelum ke Australia.

Selepas kembali dari Australia untuk tiga perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab utama negara kangaru itu bulan lalu, prestasi para pemain sepatutnya mencapai kemuncaknya pada pusingan kelayakan ini yang sekali gus mencapai dua matlamat, pertama ke pusingan akhir Piala Asia di Lebanon dan kedua memulihkan imej bola sepak negara.

Sejak memenangi pingat emas Sukan SEA 1989, prestasi pasukan kebangsaan seolah-olah seperti kapal yang sedang tenggelam di lautan.

Pasukan negara tidak lagi dihormati apatah lagi digeruni oleh pihak lawan. Pada Sukan SEA di Brunei Ogos tahun lepas, rentetan kegagalan pasukan negara berterusan apabila gagal mara ke suku akhir.

Tetapi Abdul Rahman, di sebalik kritikan dan harapan sisa-sisa peminat, bertegas dengan formulanya iaitu memilih pemain-pemain muda yang kurang pengalaman.

Dan kemenangan ke atas Taiwan amat diperlukan oleh para pemain muda ini untuk meraih semangat sebelum berhadapan Thailand dan Korea Utara yang lebih kuat.

Abdul Rahman berkata, ini adalah masanya untuk para pemain memberikan persembahan terbaik dan membuktikan kepada para peminat mengenai kesungguhan mereka.

''Hanya saya harapkan para pemain tidak merasa tertekan apabila bertemu Taiwan kerana kita sangat memerlukan kemenangan,'' katanya di Shah Alam semalam.

''Kita amat bergantung kepada persembahan malam esok, jika kita mencatatkan keputusan membanggakan, laluan nampak lebih cerah,'' jelasnya.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4T705DThs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan