Selasa, 13 Disember 2016

Peluang Malaysia tetap ada - Rahman

ARKIB : 08/12/1999
MALAYSIA mempunyai peluang untuk bersaing yang lebih cerah apabila diundi dalam kumpulan tiga bersama-sama Qatar, Hong Kong dan Palestin pada pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2002.

Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, Malaysia pada dasarnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak jauh bezanya dengan tiga lawan tersebut.

''Bagi saya, peluang untuk memberikan saingan tinggi ada pada Malaysia. Taraf saingan Hong Kong mungkin berada di atas sedikit tetapi kita tetap ada peluang.

''Mengenai Palestin pula, tidak banyak yang diketahui manakala Qatar mungkin menjadi pilihan utama kumpulan ini,'' kata Rahman ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.

Pada majlis pengundian di Tokyo semalam, Malaysia mendapat laluan yang boleh dianggap sedikit mudah pada kelayakan Piala Dunia jika dibandingkan dengan kelayakan Piala Asia tahun depan.

Indonesia dan Singapura yang mengaibkan Malaysia 6-0 dan 2-1 pada Sukan SEA XX Brunei, Ogos lalu, tidak lagi menemani skuad negara kali ini setelah mereka diletakkan dalam kelompok besar B kelmarin.

Peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebut, pasukan dalam kelompok ini tidak boleh diundi bersama sekali lagi apabila masing-masing dibahagikan kepada 10 kumpulan.

Bagi Piala Asia yang berlangsung dua pusingan di Bangkok dan Kuala Lumpur, Mac depan, skuad negara diundi bersama Korea Utara, Taiwan dan Thailand dalam kumpulan lapan.

Kata Rahman, peluang mampu bersaing itu tidak bermakna Malaysia akan sentiasa mampu mencapai kemenangan pada kelayakan yang bermula tahun depan hingga 2001.

''Begitupun, jika kita dapat mengubah sikap dan corak permainan dan bukan lagi beraksi di takuk lama, tidak mustahil kejayaan berpihak kepada Malaysia,'' katanya lagi.

Rahman dalam pada itu berpendapat, lebih baik baginya dan skuad negara bersikap merendah diri ketika ini sambil menanam tekad untuk bekerja keras dalam memastikan kejayaan.

''Biarlah kita low profile. Kita perlu terima hakikat kekuatan kita cuma setaraf dengan Kemboja atau Brunei,'' katanya selepas hari kedua sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

Kemboja dan Brunei merupakan dua lawan yang berjaya Malaysia jinakkan di peringkat kumpulan ketika Sukan SEA tetapi belum cukup membawa skuad negara mara ke separuh akhir.

Sementara itu, tiga pemain Sarawak, naib juara Piala Malaysia, Sabtu lalu - Ibrahim Mantali, Dahlan Matusin dan Ramos Sari meminta pengecualian daripada latihan selama dua atau tiga hari lagi.

''Latihan tetap dijalankan seperti biasa dalam bulan Ramadan ini. Saya perlu mengenal pasti persembahan pemain dalam latihan sebelum menyentuh tentang kunjungan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi siri perlawanan persahabatan,'' tegasnya.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SicKXl4S © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan