KIM Swee mahu pemain pamer aksi
cemerlang demi maruah negara.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali
Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mempertahankan pemilihan 24 pemain biarpun
ada pihak mempersoalkan ketiadaan beberapa pemain yang sepatutnya turut
mendapat tempat dalam skuadnya.
Kim Swee memanggil 13 muka baru
untuk menghadiri kem latihan pusat bermula Isnin ini bagi menghadapi aksi
persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September, namun
senarai pemain itu seperti belum lengkap.
Dalam kalangan pemerhati bola
sepak dan peminat tempatan, pemain seperti Muhammad Hadin Azman dari FELDA
United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Kenny Pallraj Davaragi (Perak) antara
yang wajar diberikan peluang kerana prestasi semasa mereka.
“Hadin dan Fazrul memang ada
dalam perancangan asal saya, tapi saya juga ada memanggil dua lagi pemain baru
di posisi sayap iaitu Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team) jadi
saya tidak boleh memanggil empat pemain baru serentak.
“Pemain seperti Kenny Pallraj,
saya tak nafikan dia mempamerkan peningkatan bersama Perak, tapi untuk posisi
pertahanan tengah saya sudah memiliki pemain lain seperti Ronny Harun, Shahrul
Saad dan Fadhli Shas. Mungkin belum masa untuk memanggilnya.
“Kami hanya mempunyai satu
perlawanan persahabatan dengan kemungkinan sukar untuk saya menurunkan ramai
pemain baru dalam perlawanan itu. Jika mereka terus konsisten, mungkin selepas
ini dalam persediaan perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan mereka
boleh dipanggil dan diberi peluang,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Susulan persaraan empat tonggak
Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd
Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal serta beberapa pemain dilanda
kecederaan, Kim Swee hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ke Jelajah
Oceania pada Jun lalu.
Kemunculan buat kali pertama
kapten Harimau Muda A Irfan Fazail serta Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Saad,
Amer Saidin dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dipanggil semula, melengkapkan
senarai sembilan bekas pemain Kim Swee.
‘Mereka ini bermain baik bersama
pasukan masing-masing di peringkat domestik dan juga mempunyai pengalaman di
peringkat antarabangsa apabila Sukan SEA, kelayakan Olimpik, perlawanan
persahabatan antarabangsa bersama Harimau Muda sebelum ini.
“Biarpun mereka ini dianggap
pelapis kepada pemain senior, tapi tiada tiket automatik untuk mereka berada
dalam skuad negara. Jika tiada kesungguhan ketika latihan dan prestasi pula
tidak baik, saya tetap akan gugurkan mereka,” tegas Kim Swee yang menggalas
misi besar untuk mengharungi cabaran Piala AFF pada November.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:15 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan