ARKIB : 22/02/2000
TIGA perlawanan persahabatan
dengan kelab teratas Liga Australia yang diatur awal bulan depan, memberi
kesempatan terbaik buat jurulatih bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim
untuk menentukan kesebelasan utamanya bagi menghadapi kelayakan Piala Asia.
''Di sana akan memberikan
bayangan kepada saya untuk menentukan kesebelasan pemain.
''Bermain dengan pasukan lebih
handal adalah lebih elok untuk tujuan pendedahan dan dalam masa yang sama, saya
berpeluang mencari pemain teras.
''Saya harap mendapat pasukan
yang mantap sekembali dari Australia nanti,'' kata Rahman ketika dihubungi di
Alor Setar, Kedah semalam.
Skuad 25 pemain itu dijangka
berlepas ke Australia 1 Mac ini dan dijadual berada di sana selama 11 hari.
Mereka akan menentang Northern
Spirit FC pada 5 Mac di Stadium North Sydney dan bertemu Parmatta Power FC pada
7 Mac di Stadium Parmatta.
Malaysia akan bertemu Canberra
Cosmos di Canberra pada perlawanan terakhir sebelum kembali ke tanah air untuk
memulakan kempen kelayakan Piala Asia, akhir bulan depan.
''Walaupun kita mencatat
kemenangan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, pasukan masih
kekurangan di beberapa bahagian.
''Kita harus terus dedahkan
pemain dengan perlawanan-perlawanan kompetitif dan persahabatan di Australia
adalah usaha terakhir kita sebelum kelayakan bermula.
''Saya cuma berharap pemain
mendapat pengalaman berharga selama 11 hari di Australia nanti,'' kata Rahman.
Skuad negara sebelum ini
dikritik hebat selepas tewas 3-1 kepada Singapura pada Piala Cabaran SingTel di
Singapura, awal bulan lalu.
Biarpun mencatat kemenangan
berikutnya dalam dua perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Maldives
(menang 2-0 di Stadium Merdeka pada 15 Februari dan 3-0 di Stadium Shah Alam pada
17 Februari), skuad negara masih dilihat belum mantap secukupnya.
Anak buah Rahman kemudian
mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad Liga Perdana Perlis Sabtu lalu selain
menentang Kedah semalam dan Negeri Sembilan Sabtu ini.
Dalam pada itu Rahman berkata,
beliau kemungkinan akan ke Bangkok Rabu ini untuk 'mengintip' kemajuan pasukan
lawan dalam kelayakan nanti, Thailand yang bermain dalam satu persahabatan
menentang skuad kebangsaan Brazil.
Malaysia diletakkan dalam
kumpulan 8 dalam kelayakan Piala Asia bersama Thailand selain Taiwan dan Korea
Utara.
Pusingan pertama berlangsung di
Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan pusingan kedua di Bangkok pada 4-8 April.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SvJzqrHX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan