Sabtu, 17 Disember 2016

Kebangkitan kita jadi bualan

ARKIB : 31/03/2000
 
PARA pemain pasukan Malaysia meraikan jaringan pertama yang dilakukan oleh penyerang, Rusdi Suparman (kanan sekali) pada perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan menentang Thailand kelmarin. Malaysia menang 3-2.

KEJAYAAN skuad bola sepak kebangsaan melepasi pusingan pertama kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan dengan kedudukan teratas kumpulan, harus menjadi bualan hangat peminat-peminat tempatan.

Apa tidaknya, sesudah begitu lama bola sepak negara menyepi selepas meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Malaysia kembali bangkit pada alaf baru ini.

Mungkin tahun 2000 menjadi lembaran baru buat bola sepak kebangsaan dengan keputusan kelayakan Piala Asia ini, biarpun ia hanya sekadar permulaan.

Tetapi perlu diingat, cabaran skuad negara belum selesai. Pusingan kedua kelayakan yang bakal berlangsung di Bangkok pada 4 hingga 8 April ini, adalah satu tugas lebih perit dan mencabar buat skuad muda bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim ini.

Walaupun menamatkan pusingan pertama dengan kedudukan paling atas dalam kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, Malaysia harus tidak cepat mendabik dada.

Bangkok adalah medan terpenting yang bakal menentukan sama ada skuad baru ini mampu menghadirkan gemilang yang berterusan.

Dan Bangkok juga mampu menjadi medan pemusnah bagi skuad negara jika mereka tidak mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Thailand, jaguh Asia Tenggara yang menjadi pilihan untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia di Lebanon Oktober ini, pasti akan mengamuk di tempat sendiri.

Korea Utara juga perlu diawasi kerana mereka sebenarnya lebih gagah berbanding Thailand jika dinilai aksi mereka pada pusingan pertama di Shah Alam.

Seperti kata Rahman, skuad negara usah terlalu ghairah dengan kejayaan itu kerana perjalanan masih jauh. Masih banyak yang perlu diharungi dan apa sahaja kemungkinan boleh berlaku di Bangkok.

Begitu juga dengan pengendali Thailand, Peter Withe yang mengganggap cabaran pasukannya belum berakhir.

''Tunggu pusingan kedua di Bangkok minggu depan. Thailand bermain di Bangkok,'' ujar jurulatih dari England itu.

Malaysia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Taiwan dan mengikat Korea Utara 1-1 sebelum mengejutkan Thailand 3-2 pada perlawanan terakhir mereka untuk mengutip tujuh mata.

Korea Utara di tangga kedua dengan lima mata selepas meraih satu kemenangan dan dua seri manakala Thailand ketiga dengan empat mata. Taiwan gagal memungut sebarang mata.

Kemenangan Malaysia ke atas pasukan jiran itu dianggap paling manis kerana dalam pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini, kemenangan sentiasa memihak kepada pasukan negara Gajah Putih itu.

Kali terakhir pertemuan Malaysia-Thailand ialah pada perlawanan akhir Piala Tiger 1996 di Singapura dengan kemenangan memihak kepada Thailand 1-0.

''Persembahan pemain memberangsangkan tetapi walaupun kami menang, tekanan pasti bertambah.

''Apa yang menggembirakan, kami berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Pasukan ini adalah baru dan tentu banyak yang perlu dipelajari.

''Menerusi perlawanan itu, secara teknikal, Thailand mengatasi kita dan anda tentu tahu tahap sebenar kita,'' kata Rahman.

Skuad negara akan berlepas ke Bangkok Ahad ini untuk pusingan kedua. Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan terakhir 8 April.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T9M7zaRV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan