Khamis, 15 Disember 2016

Akmal Rizal, Juzaili belum pasti jadi pilihan

ARKIB : 04/02/2000
BINTANG harapan bola sepak negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Ahmad Juzaili Samion mungkin dianggap generasi pelapis terbaik negara ketika ini setelah ditawarkan oleh kelab handalan Perancis, Strasbourg untuk menjalani latihan bersama mereka.

Bagaimanapun, pemergian mereka ke Perancis tidak sekali-kali akan dijadikan ukuran oleh jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Alan Harris untuk disenaraikan ke kejohanan Piala Belia Asia, Jun depan.

''Saya mempunyai ramai pemain yang tidak kurang bagusnya (berbanding dengan Akmal dan Juzaili) di sini. Jadi Akmal dan Juzaili perlu menunjukkan kemampuan mereka untuk terpilih ke dalam skuad,'' katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, semalam.

Skuad bimbingan Harris diletakkan dalam kumpulan sembilan bersama-sama Korea Selatan, Singapura, Macau dan Filipina.

Akmal dan Juzaili bersama Strasbourg sejak pertengahan bulan lalu dengan membawa misi menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama mendapat kontrak dengan kelab bahagian satu dari Eropah.

Mereka yang pernah mendapat pendedahan bersama kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich akan berada di sana selama enam bulan.

''Saya ada berbual dengan mereka kira-kira dua atau tiga minggu lalu dan saya telah menjelaskan bahawa tiada tempat automatik untuk mereka... kedua-duanya perlu berusaha sama seperti 30 pemain lain,'' kata Harris.

Menurutnya lagi, beliau akan melawat kedua-dua pemain tersebut di Strasbourg dalam tempoh dua bulan lagi untuk mengetahui perkembangan sebenar.

''Ketika ini adalah penting buat mereka dan negara ini untuk kedua-duanya mendapat kontrak bermain di Eropah, jadi saya mahu mereka terus memberi tumpuan kepada usaha mereka sekarang,'' jelasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4Su4b4qXe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan