ARKIB : 23/06/1999
SEBAHAGIAN pelatih pasukan bola
sepak kebangsaan menjalani latihan ringan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Kem pasukan kebangsaan kembali di buka untuk latihan pemilihan ke Sukan SEA XX
Brunei, Ogos ini. - Gambar SHAHARUDDIN ABDULLAH.
JURULATIH bola sepak
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, perlawanan persahabatan dengan skuad
Olimpik Iraq di Stadium Merdeka Jumaat ini menjadi ujian penting untuk mencari
keserasian pemain selain melihat sejauh mana kecergasan mereka selepas beraksi
dalam Liga Perdana.
Katanya, perlawanan itu serta
dua lagi perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 1 dan 3 Julai ini
sekali gus memberi peluang baginya membentuk pasukan terbaik sebelum ke Sukan
SEA XX di Brunei, Ogos ini.
''Saya lihat kecergasan pemain
Malaysia begitu baik sepanjang kempen liga tetapi tidak pula begitu apabila
sampai ke peringkat antarabangsa.
''Di peringkat ini, nampak
pemain kita tertinggal jauh berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan
sebelum ini. Sehubungan itu, aspek itu akan cuba ditingkatkan sepanjang latihan
yang berlangsung sekarang,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Rahman semalam mengumumkan
barisan 28 pemainnya untuk latihan pemilihan ke Sukan SEA dan semua yang
dipanggil melapor diri di Wisma FAM semalam untuk latihan ringan kecuali
sembilan pemain dari Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur kerana
mereka terbabit dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA.
Penyerang Azman Adnan yang
cedera di buku lali turut melapor diri tetapi mendapat pelepasan selama
seminggu sehingga kecederaannya pulih.
Tonggak serangan Pahang, Azizul
Kamaluddin turut bersama-sama pasukan tetapi perancang tengah Sabah, Yap Wai
Loon tidak melapor diri kerana digantung oleh Persatuan Bola Sepak Sabah
(Safa).
Begitu pun, penjaga gol Pulau
Pinang, Azlisham Ibrahim dan rakan sepasukannya, V. Thinagaran serta Mohd. Ali
Tahar dari Pahang tidak bersama-sama pasukan berlatih semalam kerana mengalami
kecederaan.
Pasukan negara akan menentang
Olimpik Iraq di Stadium Merdeka, Jumaat ini pada pukul 8 malam.
Perlawanan dengan New Zealand
pada 1 Julai akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam pada pukul 8 malam dan di
Stadium Merdeka (3 Julai) pada waktu yang sama.
Selepas itu, skuad negara akan
menentang pasukan Myanmar pada tarikh yang belum ditetapkan dan lawatan ke
Uzbekistan pada 7-14 Julai sebelum pasukan negara berangkat ke Brunei.
Sementara itu, pengurus pasukan
Olimpik Iraq, Dr. Shamil Mohammad yang turut hadir pada sidang media itu
berkata, perlawanan dengan Malaysia memberi kesempatan baginya untuk
memperkemaskan pasukan menjelang pusingan kelayakan kumpulan mereka.
Iraq, yang tiba di Malaysia
kelmarin, diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama Jordan dan Arab Saudi dan
kelayakan mereka bermula pada 3 Julai ini di Jordan.
Menurut Shamil, sebelum ke
Malaysia, pasukannya telah mengadakan perlawanan persahabatan di Vietnam dan
China.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RwzLWPiN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan