Ahad, 4 Disember 2016

Nepal mampu halang impian skuad Olimpik 2000

ARKIB : 20/06/1999
HONG KONG - Perlawanan terakhir menentang Nepal pada pusingan pertama kelayakan bola sepak Olimpik hari ini tetap penting bagi Malaysia dalam usaha memenuhi impian menduduki tempat kedua kumpulan enam Asia.

Selepas menyedari terlalu sukar 'mengejar' pasukan pilihan, Jepun yang menghuni tempat pertama menerusi empat kemenangan, tangga kedua menjadi pilihan buat Malaysia.

Setakat ini tidak ada pasukan yang mampu menghalang hajat Malaysia itu kecuali Nepal yang membuat kejutan mengalahkan Hong Kong 2-1 sebelum tewas 0-5 kepada Jepun dan menang 1-0 ke atas Filipina.

Malaysia yang seri 2-2 dengan Hong Kong tewas 0-4 kepada Jepun membuka kembali laluannya menduduki tempat kedua selepas menewaskan Filipina 6-1.

Bagaimanapun, pertemuan Malaysia-Nepal hari ini menjadi perlawanan penentuan yang mencemaskan khususnya jurulatih skuad Olimpik 2000 negara, Hatem Souissi.

Menurut Hatem, pemain Malaysia seharusnya mengubah rentak permainan daripada aksi yang dipersembahkan ketika menentang Filipina.

Beliau menjelaskan, jika pemain skuad Olimpik 2000 mempamerkan aksi ketika menentang Filipina, Malaysia bukan sahaja sukar untuk menang malah mengundang bahaya.

Walaupun aksi kurang memberangsangkan, Malaysia masih mampu mencipta kemenangan besar kerana aksi Filipina jauh berbeza berbanding Nepal.

Kata Hatem, pemain seharusnya bermain dengan semangat yang tinggi kerana Nepal merupakan pasukan 'agresif.'

Pemain negara sudah tidak mempunyai pilihan lagi selepas gagal menyaingi Jepun melainkan memastikan kemenangan ke atas Nepal bagi menduduki tempat kedua dalam kumpulan itu sebelum meneruskan pusingan kedua di Tokyo, Jepun bermula 26 Jun ini.

Berdasarkan kepada perlawanan lalu, Malaysia dilihat mampu mengatasi Nepal sekiranya skuad Olimpik negara memberikan saingan terbaik.

Contohnya, Nepal hanya mampu mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Filipina sedangkan Malaysia menewaskan pasukan itu 6-1.

Di sebalik kegarangan barisan penyerang diketuai Khalid Jamlus dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, dikhuatiri kesilapan barisan belakang bakal mencemaskan skuad negara.

Menjadi harapan penyerang negara menghasilkan jaringan, pintu gol Malaysia pula jangan dibolosi.

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RvYD3pTj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan