Sabtu, 24 Disember 2016

Tiada hala tuju

 
SADEK

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Selagi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tak selesaikan masalah kepimpinan mereka, selagi itu bola sepak negara tak ada hala tuju,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustaffa.

Beliau berkata, untuk bergerak ke depan, badan induk bola sepak tanah air itu perlu meletakkan pelan dalam tempoh tertentu untuk mencapai kejayaan sama ada di pentas Asia, Olimpik mahupun Piala Dunia.


“Mungkin mereka ada pelan jangka masa panjang tapi disebabkan isu letak jawatan Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah), perkara itu terpaksa ditangguhkan. Apa yang FAM lakukan ketika ini hanya menguruskan kerja harian mereka.

“Untuk kita melancarkan sesuatu pelan, ia memerlukan dana dan tanpa presiden, bagaimana ia akan dilakukan. Sukar untuk mencari penaja apatah lagi dengan FAM dihimpit dengan kes dakwaan penyalahgunaan kuasa.

“Penyokong sekarang pun sudah jemu dengan isu sama dengan latihan tak cukup sebab tak ada perancangan,” kata Sadek kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini melaporkan mengenai pandangan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh yang mahu FAM turut memandang serius mengenai kelayakan Olimpik selepas 36 tahun Malaysia gagal beraksi di temasya sukan itu.

Beliau berkata, semua pihak khususnya FAM perlu memasang impian besar dan bukan sekadar hanya memberi perhatian kepada persiapan kejohanan di Asia Tenggara saja.

Menurut Sadek, FAM memerlukan ahli jawatankuasa pengurusan baharu yang lebih proaktif, dinamik serta klinikal dalam melihat perancangan empat hingga 12 tahun akan datang.

“Banyak cadangan yang disuarakan tapi bergantung kepada ahli Exco (FAM) yang terdiri daripada ahli politik. Mereka ini tidak serius dan ini yang membantutkan perkembangan bola sepak negara.

“Seharusnya kita sudah menyediakan program mantap untuk mendapat keputusan baik di Sukan Asia, Piala Asia, kemudian Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Kalau kita sudah sampai tahap Sukan Olimpik, kita sudah boleh layak ke Piala Dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:49 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan