Selasa, 6 Disember 2016

Pengurusan bola sepak negara perlu ditukar

ARKIB : 04/08/1999
BEKAS jurulatih kebangsaan yang pernah membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA 1989, Ahmad Shafie menyarankan supaya golongan korporat mengambil alih teraju pengurusan pasukan bola sepak kebangsaan sebagaimana yang dilakukan oleh negara maju termasuk Indonesia dan Thailand, lapor YUSRI SAHAT.

Menurutnya, campur tangan sepenuhnya pihak kerajaan termasuk istana dalam pengurusan bola sepak negara tidak membawa sebarang kemajuan walaupun pelbagai perubahan dilakukan.

Malah, katanya, campur tangan pihak istana bukan sahaja menyebabkan arena bola sepak negara tidak berkembang tetapi juga menyaksikan bidang bola sepak negara semakin terbelakang berbanding negara jiran.

Sambil mengambil contoh Korea Selatan, katanya, pasukan bola sepak negara itu yang pernah menjadi saingan Malaysia satu ketika dahulu, telah dikorporatkan dengan mendapat tajaan daripada sebuah syarikat pembuat kereta terkenal iaitu Hyundai.

Pengambilalihan pasukan bola sepak tersebut, katanya, telah membawa perubahan yang begitu ketara kepada pasukan terbabit sehingga digeruni lawan termasuk pasukan dari Eropah dan Amerika.

''Kita jangan melihat lebih jauh, cukup sekadar melihat Thailand dan Indonesia yang menyaksikan golongan korporat memegang pengurusan bola sepak negara mereka,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Sukan Utusan sebagai mengulas kekalahan teruk Malaysia 0-6 di tangan Indonesia yang dianggap paling mengaibkan dalam sejarah bola sepak tanah air. Kekalahan itu sekali gus menyempitkan laluan negara untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA XX.

Ahmad juga mencadangkan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan semula pertandingan-pertandingan antarabangsa dan peringkat serantau seperti Pestabola Merdeka yang mampu mendedahkan pemain di peringkat antarabangsa.

Menguji pemain menerusi perlawanan persahabatan bukanlah ukuran sebenar yang boleh dijadikan kayu pengukur keutuhan pasukan, ujarnya.

''Tiada guna kita bercakap tentang Piala Dunia jika di peringkat serantau pun kita menjadi pasukan belasahan,'' tegasnya.

Ahmad menambah, berita kekalahan Malaysia di tangan Indonesia sungguh menyedihkannya yang pernah membimbing pasukan itu selama tiga tahun iaitu 1987, 1988 dan 1989.

Menurutnya, kekalahan terhadap negara jiran tersebut memang telah diduga tetapi tidak terlintas di fikirannya bahawa Malaysia akan diaibkan sebegitu teruk.

''Kekalahan di tangan Singapura sememangnya di luar jangkaan kerana pasukan dalam Liga Perdana pun boleh mengalahkan pasukan tersebut,'' tegasnya.

Semangat yang tinggi dan jitu para pemain belum cukup untuk menjadikan Malaysia sebagai pasukan yang disegani jika aspek pengurusannya masih di takuk lama, tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S4QliHkq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan