ARKIB : 01/08/1999
PENJAGA gol Malaysia, Azmin
Azram Aziz dan ketua pasukan, B. Rajinikandh (kiri) gagal menyekat jaringan
kedua Singapura menerusi Mohd. Noor Ali (19) pada perlawanan kumpulan B Sukan
SEA XX Brunei di Stadium Berakas, semalam. Malaysia tewas 1-2. - Gambar
ZULAZHAR SHEBLEE.
MALAYSIA menguasai permainan
tetapi kelekaan di barisan pertahanan pada setengah jam terakhir permainan
menyaksikan skuad negara tumpas 1-2 kepada Singapura pada perlawanan pertama
bola sepak Sukan SEA XX Brunei di Kompleks Sukan Berakas, semalam.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa
jaringan pada babak pertama tetapi Malaysia, yang gagal menembusi pertahanan Singapura
sepanjang babak pertama, bangkit pada babak kedua dengan melancarkan
serangan-serangan.
Namun, pasukan lawan yang
mengambil kesempatan daripada serangan kilat yang pantas, berjaya membuka
jaringan menerusi ketua pasukan, Mohd. Nazri Nasir pada minit ke-69 akibat
kelalaian pertahanan negara.
Mohd. Noor Mohd. Ali menghukum
Malaysia dengan jaringan kedua, juga akibat kegoyahan benteng pertahanan pada
minit ke-89 sebelum Azizul Kamaluddin merapatkan jurang gol seminit kemudian.
Malaysia terlalu memberi ruang
bagi pemain lawan bergerak bebas walaupun kerap berjaya disekat tetapi hanya
kelekaan yang dianggap tidak seharusnya berlaku memberikan padah buat skuad
negara.
Pergerakan rangkaian penyerang
Malaysia pula diketuai Azizul dan Rusdi Suparman dikawal ketat pertahanan
Singapura selain kurang menerima hantaran dari rakan di bahagian tengah.
Tidak banyak serangan dilakukan
kedua-dua pasukan, cuma percubaan dari pemain tengah Ahmad Shahruddin Rosdi
yang membuat hantaran satu dua dengan Azizul menyepak liar di depan gawang
Singapura pada minit ke-42.
Rusdi pula menendang kencang
dari luar kotak penalti dua minit kemudian tetapi tendangan rendahnya didakap
kemas penjaga gol Singapura, Mohd. Rezal Hassan.
Malaysia mengubah corak
permainan pada babak kedua apabila bangkit menggandakan asakan dengan percubaan
pertama menerusi Azizul pada minit ke-48, melepaskan tendangan paras dada
tetapi sempat dikuis Rezal.
Rusdi turut berpeluang membuka
jaringan seminit kemudian tetapi gagal menyambar kemas bola hantaran lintang
Shahruddin.
Penyerang Olimpik 2000, Mohd.
Khalid Jamlus yang dibawa masuk jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim
menggantikan Rusdi melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-60
tetapi percubaannya tersasar sipi dari tiang gol.
Namun, kesilapan memberikan
banyak ruang kepada Singapura yang sesekali melancarkan serangan balas
mengundang padah apabila gol pembukaan diperoleh pasukan lawan pada minit
ke-69.
Nazri langsung tidak dikawal
ketika melonjak untuk menanduk masuk sepakan sudut Zulkarnaen Zainal.
Mohd. Noor pula berjaya
mengatasi Syamsul Amri Abu Bakar dan Azmin untuk gol kedua sebelum Azizul
merembat kencang untuk gol tunggal Malaysia.
Sementara itu, Indonesia
terpaksa menunggu sehingga minit terakhir sebelum berjaya memperoleh gol untuk
menewaskan Kemboja 1-0 di Stadium Balapan dan Padang.
Jaringan gol minit ke-89 oleh
Adrian menyelamatkan maruah Indonesia, naib juara temasya di Jakarta pada 1997,
sekali gus menyaingi Singapura dalam perlawanan kumpulan B. - Utusan
Daripada: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S4A32uZK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan