Sabtu, 17 Disember 2016

Gol Nizaruddin bantu Malaysia seri

ARKIB : 28/03/2000
PENYERANG muda, Mohd. Nizaruddin Yusof menyelamatkan Malaysia daripada kekalahan pada perlawanan kedua bola sepak kelayakan Piala Asia apabila jaringannya pada babak kedua membantu pasukan negara seri 1-1 dengan Korea Utara di Stadium Shah Alam, semalam.

Penyerang Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu bijak mengambil kesempatan setelah pemain pertahanan Korea Utara melakukan kesilapan dengan cuba mengeluarkan bola hantaran tinggi Anuar Jusoh ke depan gawang.

Dalam masa yang sama, penjaga gol Korea Utara, Jang Jong Hyok keluar dari kawasan golnya untuk cuba menyelamatkan keadaan tetapi bola yang ditanduk rakannya singgah ke kaki Nizaruddin yang terus menyepak masuk.

Sebelum itu, Korea menggegar jaring Malaysia untuk gol pembukaan menerusi Ko Jong Nam selepas kesilapan pemain negara yang membuat hantaran kepada lawan ketika keadaan kucar-kacir di kawasan gol Malaysia.

Jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim merehatkan bek tengah, Abdul Ghani Malek dan B. Rajinikandh mengambil posisi Ghani sementara Idris Karim diletakkan di bahagian tengah.

Begitupun, corak permainan pantas Korea begitu mengucar-ngacirkan pertahanan Malaysia yang terpaksa mengikut rentak lawan dan secara tidak langsung mematikan setiap serangan skuad negara.

Biarpun Mohd. Noor Derus mengejutkan barisan pertahanan Korea dengan percubaan jarak jauhnya seawal minit ketiga, Korea Utara pantas mengatur serangan balas.

Tiga minit selepas itu, kesilapan pemain tengah, Anuar Jusoh mengundang padah apabila hantarannya tidak kepada rakan sebaliknya disambar Ju Song Il yang terus meleretkan bola kepada Jong Nam dalam kotak penalti.

Pemain sayap kanan Korea Utara itu yang tidak dikawal, sempat mengambil masa sebelum membuat tolakan rendah, gagal dijangkau Mohd. Sany Fahmi ketika penjaga gol itu meluru keluar cuba menyelamatkan keadaan.

Korea Utara terus mengasak kubu Malaysia dalam usaha menambah gol, menyebabkan skuad negara terpaksa bertahan dan hanya mampu melancarkan serangan sekali sekala.

Pergerakan dua penyerang negara, Zami Mohd. Noor dan Nizaruddin begitu terbatas apabila dikawal ketat barisan pertahanan Korea.

Pasukan lawan memperoleh peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-30, mujur Sany berjaya menghalang sepakan Ri Hyok Chol ketika hanya berdepan satu sama satu dengan pemain itu.

Peluang Malaysia untuk menyamakan kedudukan hadir enam minit selepas itu tetapi tendangan Anuar dari sebelah kiri gawang Korea Utara tersasar sipi dari sudut tiang gol.

Menyedari kesulitan yang diharungi Zami di barisan serangan, Rahman membawa keluar ketua pasukan itu dan membawa masuk Rusdi Suparman pada babak kedua.

Kemasukan Rusdi, penjaring dua gol ketika Malaysia menang 3-0 ke atas Taiwan Sabtu lalu, menyuntik kembali semangat kesebelasan skuad negara yang melancarkan serangan padu sebaik babak kedua bermula.

Gandingan Rusdi dan Nizaruddin tampak menyengat yang menyaksikan skuad negara akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57, hasil kesilapan pemain pertahanan Korea Utara.

Keputusan perlawanan ini sudah tentu menjanjikan aksi menarik pertemuan Malaysia menentang Thailand esok.

Thailand yang menjadi pasukan pilihan untuk beraksi pada pusingan akhir di Lubnan sehingga kini belum begitu menyerlah meskipun mencatatkan kemenangan pertama ke atas Taiwan dalam perlawanan terdahulu.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4T9HlT3G7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan