Sabtu, 17 Disember 2016

Rahman gugurkan Ramos Sari, Chan Yew

ARKIB : 22/03/2000
DUA pemain yang cedera ketika pasukan negara mengadakan lawatan di Australia, Ramos Sari dan Lim Chan Yew digugurkan dari pasukan negara yang akan menyertai pusingan kelayakan bola sepak Piala Asia Kumpulan Lapan di Stadium Shah Alam yang bermula Sabtu ini, lapor A. JAILANI ABDULLAH.

Ramos, pemain tengah dari Sarawak, mengalami kecederaan retak buku lali kanan sementara pemain Selangor, Chan Yew yang bermain di bahagian pertahanan cedera ligamen lutut ketika pasukan negara mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab di negara Kanggaru itu.

Jurulatih kebangsaan, Abd. Rahman Ibrahim berkata, walaupun kecederaan kedua-dua pemain itu tidak begitu serius, namun harapan untuk mendapatkan khidmat mereka terlalu tipis.

Abd. Rahman juga masih berteka-teki mengenai senarai muktamad pemain yang akan memikul cabaran Malaysia di sebalik jangkaan beliau akan mengumumkan senarai pemainnya semalam.

''Kita akan mengetahui senarai pasukan esok (hari ini),'' kata Abd. Rahman ketika ditemui di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. ''Sekarang kita sudah tahu berita buruknya (mengenai nasib Ramos dan Chan Yew) tetapi kita akan tunggu sehingga esok sebelum membuat keputusan.''

''Saya akan mendapatkan pengesahan daripada doktor lebih dahulu mengenai keadaan sebenar kedua-dua pemain itu.''

Semalam 19 pemain termasuk dua penjaga gol, Mohamed Sany Fahmy dan Zuraimi Hassan menjalani latihan.

Menurut Abd. Rahman, beliau mungkin mengekalkan terus 19 pemain yang ada sekarang atau jika mahu menyenaraikan 20 pemain, seorang lagi penjaga gol iaitu Mohd. Yazid Yassin akan dipanggil.

Bagaimanapun, Abd. Rahman dilihat masih menaruh harapan untuk mendapat khidmat salah seorang di antara kedua pemain yang masih cedera itu.

''Sekiranya Ramos atau Chan Yew pulih sebelum pertandingan bermula, dia akan disenaraikan,'' katanya.

Katanya lagi, beliau juga masih mempunyai masa untuk membuat keputusan muktamad sehingga 24 April ini apabila mesyuarat pengurus-pengurus pasukan diadakan.

Dalam perkembangan lain, skuad negara kini gigih mempertajamkan bahagian sayap yang didapati masih mempunyai kelemahan.

Menurut Abd. Rahman, pengalaman bermain tiga perlawanan persahabatan di Australia menyerlahkan kelemahan bahagian tersebut tetapi sudah mula menunjukkan peningkatan.

''Kita mengesan kelemahan di bahagian sayap tetapi pemain-pemain bahagian itu sudah semakin pantas sekarang,'' katanya.

Selain Malaysia, tiga pasukan lain dalam kumpulan lapan ialah Korea Utara, Thailand dan Taiwan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4T6vJghhs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan