Ahad, 4 Disember 2016

Misi utama kalahkan Filipina


 

ARKIB : 18/06/1999
PEMAIN skuad Olimpik 2000, S. Jayaprakash (kanan) cuba merebut bola daripada kawalan pemain Jepun, Tomoyuki Hirase pada perlawanan bola sepak kelayakan Olimpik kumpulan enam (Asia) di Hong Kong, kelmarin. Jepun menang 4-0. - Gambar Reuters.

HONG KONG - Hasrat melakukan kejutan sudah semakin samar, sebaliknya tumpuan utama skuad negara sekurang-kurangnya di belakang 'gergasi' Asia, Jepun selepas berakhir kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia), di Stadium Hong Kong.

Tugas tersebut perlu dilaksanakan oleh pemain Malaysia menerusi kemenangan ke atas Filipina hari ini, sebelum memastikan Nepal juga tewas dalam saingan terakhir. Hanya kemenangan ke atas Filipina menjadi landasan untuk sekurang-kurangnya berada di tangga kedua kumpulan tersebut.

Kemenangan ke atas Filipina penting untuk mengutip seberapa banyak mata kerana Nepal yang dibelasah 0-5 oleh Jepun kini mempunyai kelebihan untuk menghuni tangga kedua berdasarkan kemenangan mengejut 2-1 ke atas tuan rumah Hong Kong.

Sehubungan itu, sebelum menghadapi Nepal, skuad Olimpik 2000 negara seharusnya mencatat kemenangan ke atas Filpina terlebih dahulu selepas dua perlawanan menyaksikan Malaysia tewas kepada Jepun serta seri 2-2 dengan Hong Kong.

Jurulatih Hatem Souissi berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan mencipta kemenangan ke atas Filipina untuk mengejar kedudukan tangga kedua.

''Malaysia perlu menang dalam perlawanan menentang Filipina untuk memastikan kedudukan di tangga kedua,'' kata beliau ketika ditemui di Hong Kong, semalam.

Hatem tidak mahu pemain negara memandang rendah keupayaan Filipina selepas menyaksikan pasukan negara itu tewas teruk 0-13 kepada Jepun.

''Ini bahaya jika kita kurang memberi perhatian kerana Filipina yang kalah teruk sudah pasti cuba berbuat sesuatu untuk memperbaiki kelemahan mereka.

''Lihat sahaja bagaimana mereka (Filipina) tewas hanya 0-1 kepada Nepal, ini seharusnya menjadi ikhtibar kepada pemain Malaysia,'' kata beliau.

Sememangnya benar kata Hatem kerana pengalaman lalu yang menimpa Malaysia sebenarnya mempunyai kaitan dengan Filipina walaupun bebeza pasukan.

Peristiwa memalukan dalam Sukan SEA di Manila pada 1991 sewaktu Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina sewajarnya memberi kesedaran kepada pemain skuad Olimpik 2000 negara supaya tidak beraksi sambil lewa, sebaliknya lebih bersungguh- sungguh menghadapi apa jua pasukan.

Kekalahan kepada Jepun bukan penghalang, sebaliknya pemain perlu melupakan kekecewaan lalu untuk bangkit meneruskan saingan menerusi persembahan yang baik demi negara. - Utusan

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rsseuvyj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan