Selasa, 6 Disember 2016

Strategi Rahman mula berhasil

ARKIB : 11/07/1999
KESAN perubahan terpapar pada corak permainan skuad bola sepak negara biarpun terpaksa tunduk 0-1 kepada kelab Samarkhand pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Dynamo Strorim, Uzbekistan kelmarin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kuala Lumpur semalam, jurulatih skuad negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata pemainnya tampak mulai memahami kemahuannya dengan mempamerkan corak pantas seawal permainan.

''Penguasaan bola kedua-dua pasukan setara. Namun pemain negara cepat menyesuaikan diri dengan cuaca panas kering di sana dengan bermain secara pantas.

''Kita unggul di babak pertama malah seringkali mengancam kubu lawan,'' ulas Rahman mengenai perlawanan yang disaksikan oleh kira-kira 20,000 penonton itu.

Sayangnya, kata Rahman, terjahan pemain negara, Khairul Annuar Baharom seawal minit kelapan mendorong pemberian sepakan penalti yang menghasilkan gol Samarkhand.

''Skuad negara cuba memberikan tekanan pada babak kedua namun kekangan benteng lawan yang ketat selain aksi lasak mereka menyekat sebarang usaha mencari jaringan,'' katanya.

Malaysia kini dalam rangka lawatan ke Uzbekistan selama 10 hari sambil mengadakan tiga perlawanan persahabatan termasuk menentang skuad kebangsaan negara itu.

Samarkhand merupakan naib juara liga Uzbekistan.

Kelmarin, Malaysia menurunkan V. Murugan selaku penjaga gol sambil dibantu oleh V. Thinagaran, Khairul, Nazri Yunos, Syamsul Amri Bakar dan Shahrulnizam Sahat di barisan belakang.

Rizal Sukiman, S. Saravanan dan Shahrul Azhar Sofian membarisi bahagian tengah selain Rahman turut mencuba gandingan Azizul Kamaluddin dan Rusdi Suparman sebagai penyerang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S3VDlhoM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan