Ahad, 18 Disember 2016

Malaysia beri tentangan bersemangat

ARKIB : 09/04/2000
THAILAND 3 Therdsak Chaiman (14) Tananchai Boriban (27, 68)
MALAYSIA 2 Rusdi Suparman (36) Mohd. Nizaruddin Yusof (60)
BIARPUN gagal ke Lebanon, aksi bersemangat Malaysia melawan kekentalan barisan Thailand berhak dipuji dan dibanggakan sebelum akhirnya akur dengan kekalahan tipis 3-2 pada perlawanan terakhir pusingan kedua bola sepak kelayakan Piala Asia di Bangkok, semalam.

Kekalahan itu sekali gus menyerahkan tiket pusingan akhir Piala Asia di Lebanon Oktober depan kepada seteru utama itu yang muncul juara Kumpulan Lapan dengan 13 mata, mengecewakan Korea Utara yang menunggu keputusan perlawanan itu selepas menang tipis 1-0 ke atas Taiwan pada perlawanan sebelumnya.

Di tengah kebingitan 45,000 penyokong pasukan tuan rumah di Stadium Supphachalasai, Malaysia ketinggalan 2-1 pada babak pertama menerusi jaringan Therdsak Chaiman dan Tananchai Boriban minit ke-14 dan 27 sebelum Rusdi Suparman merapatkan kedudukan minit ke-36.

Mohd. Nizaruddin Yusof menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-60 babak kedua sebelum Tananchai sekali lagi menyumbat masuk untuk gol kemenangan Thailand lapan minit kemudian yang membawa mereka ke Lebanon.

Kekalahan itu turut menggagalkan skuad negara untuk mengulangi kejutan menewaskan pasukan negara jiran itu 3-2 pada pusingan pertama di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Malaysia dengan gandingan menarik Rusdi-Nizaruddin, memulakan ancaman dengan asakan-asakan awal yang mengejutkan barisan pertahanan Thailand pada 15 minit pertama.

Idris Karim mendapat ruang melepaskan tendangan kencang di depan gawang seawal minit kelapan tetapi rembatan padunya sempat ditepis penjaga gol tuan rumah, Wirat Wangchan.

Pemain pertahanan, Abdul Ghani Malek turut menyertai serangan barisan depan dengan tandukan hasil sepakan sudut Idris seminit kemudian tetapi bola dikuis keluar dengan hujung jari Virat.

Biarpun tanpa tonggak utama Kiatisuk Senamuang yang digantung satu perlawanan, Thailand tetap mempamerkan aksi baik dan tiba-tiba melancarkan serangan balas dan ancaman pertama mereka rupanya menghasilkan jaringan pembukaan pada minit ke-14.

Bahtiar Othman terpaksa menjatuhkan Therdsak yang memberikan sepakan bebas di hujung kotak penalti dan Therdsak yang mengambil sendiri sepakan itu, melencongkan bola gagal dijangkau Zuraimi Hassan.

Gol pertama itu, dengan sorakan padu penyokong tuan rumah, membangkitkan lagi semangat kesebelasan Thailand yang kemudian menguasai permainan dengan asakan-asakan berbahaya.

Hasilnya, Thailand berjaya menggandakan jaringan sekali lagi menerusi sepakan bebas Therdsak yang ditanduk masuk Tananchai pada minit ke-27.

Malaysia cuba bangkit merapatkan jurang dan Rusdi mendapat kesempatan melepaskan tendangan tetapi disekat Wirat.

Dan peluang yang dimiliki skuad negara pada minit ke-36 tidak dipersia-siakan apabila rembatan lintang Nizaruddin disambar Rusdi untuk gol pertama Malaysia.

Aksi babak kedua lebih menarik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan yang menghangatkan lagi suasana Stadium Supphachalasai.

Begitupun, Malaysia yang lebih banyak menggempur kubu Thailand akhirnya bangkit dengan gol penyamaan apabila tandukan Nizaruddin hasil hantaran jauh Rosdi Talib, menuju ke sudut gawang, gagal dijangkau Wirat.

Namun, kelekaan barisan pertahanan negara menyaksikan pasukan tuan rumah kembali di depan pada minit 20 hasil tandukan padu Tananchai di depan gawang setelah mendapat hantaran silang Therdsak.

THAILAND: Wirat Wangchan, Phathanapong Srippramote (Panupong Chimpook), Choketawee Promrut, Anuruck Srikert, Chukiat Noosalung, Therdsak Chaiman (Tawan Sripan), Nirut Surasiang, Dusit Chalermsan, Pipat Thonkanya (Thawatchai Damrong-Ongtrakul), Tananchai Boriban, Saksan Pituratana.

MALAYSIA: Zuraimi Hassan, Abdul Ghani Malek, B. Rajinikandh, Bahtiar Othman, Hairul Nizam Haniff, Idris Karim (Ooi Hoe Guan), Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Rosdi Talib (Mohd. Nor Derus), Bobby Pian, Mohd. Nizaruddin Yusof, Rusdi Suparman.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TFpFaNLQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan