Isnin, 5 Disember 2016

Jepun layak ke pusingan terakhir

ARKIB : 29/06/1999
TOKYO - Cita-cita Malaysia untuk sekurang-kurangnya membaiki keputusan pertemuan di Hong Kong berkecai apabila tunduk 0-4 kepada Jepun pada pusingan kedua bola sepak kelayakan Olimpik Kumpulan Enam Asia, semalam.

Kekalahan di Stadium Nasional, Tokyo itu, mengulangi kekecewaan tumpas dengan jaringan yang sama kepada skuad Negara Matahari Terbit itu pada pusingan pertama di Hong Kong.

Sebaliknya kemenangan Jepun mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan kelayakan terakhir selepas kemenangan ke atas Malaysia.

Shunsuke Nakamura membuka jaringan selepas permainan berlangsung 28 minit menerusi tendangan penalti yang berpunca daripada kesilapan pertahanan negara, Khairun Haled Masrom menjatuhkannya dalam kotak penalti.

Tomoyuki Hirase melebarkan kedudukan 2-0 minit ke-32 dan Masashi Motoyama menambah gol ketiga Jepun pada minit ke-40 sebelum Yoshiteru Yamashita menggegarkan jaring Malaysia kali keempat seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Begitu pun, skuad bimbingan Hatem Souissi itu berjaya mengekang Jepun daripada berpesta gol apabila menyekat kemaraan mereka pada babak kedua.

Jepun yang turun tanpa penjaring utama, Kota Yoshihara dan bintang penyerang Atsushi Yanagisawa, pasukan tuan rumah gagal melebarkan jaringan pada babak kedua.

Bagaimanapun, kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah Jepun enam kali berturut-turut dalam kumpulan lima negara itu untuk memungut maksimum 18 mata.

Malaysia hanya mencatat satu kemenangan setakat ini selain satu seri dan dua tewas untuk mengutip lima mata di depan Filipina yang kekal di tangga terbawah tanpa sebarang kemenangan.

Dalam satu lagi perlawanan, jaringan Kwok Man-tik 20 saat permainan bermula membolehkan Hong Kong mencatat kemenangan 2-1 ke atas Nepal.

Hong Kong hanya mengambil masa 19 saat untuk meletakkan mereka di hadapan apabila penyerang Kelab Happy Valley itu menyumbat masuk bola dengan rembatan kaki kanan di depan pintu gol sebaik menerima hantaran Lee Sze-ming.

Pada minit ke-35, Yiu Hok-man menewaskan seorang pemain pertahanan dalam kawasan gol dan Leung Chi-wing yang menerima hantaran merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol Nepal, Sanjeeb Joshi dan menjadikan kedudukan 2-0.

Nepal, yang menewaskan Hong Kong 2-1 dalam pertemuan pertama di Hong Kong, dua minggu lalu akhirnya menemui sentuhan gol pada minit ke-68.

Pemain gantian, Dilli Ram Shrestha memecah masuk ke kawasan gol dan rembatan kencangnya terkena Rajan Raymajhi dan bola menerjah ke jaring.

''Kami bermain lebih baik berbanding separuh masa kedua hari ini,'' kata ketua jurulatih Hong Kong, Mior Casemiro.

''Kami mahu memenangi perlawanan berikutnya menentang Malaysia. Ia sudah memadai bagi kami.''

Jurulatih Nepal, Toresten Spittler dari Jerman: ''Saya tidak boleh memarahi para pemain. Ia satu situasi yang sukar bagi mereka. Pasukan ini masih muda dan mereka melakukan beberapa kesilapan,'' kata Spittler. - AFP

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RyaNBklx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan