Ahad, 4 Disember 2016

Pemain Malaysia diserang

ARKIB : 21/06/1999
HONG KONG - Hajat mencipta kedudukan terbaik bertukar menjadi 'tragedi' buat pemain Malaysia yang mengalami kecederaan akibat dipukul penyokong Nepal dalam kejohanan penutup tirai pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam di Stadium Hong Kong, semalam.

Akibat kejadian tersebut, penjaring gol Malaysia, Mohd. Rafdi Rashid dikejarkan ke hospital kerana kecederaan di bahagian pinggul selepas dipukul ketika berlari untuk mendapatkan perlindungan di bilik VIP stadium itu.

Dua lagi penjaga gol skuad Olimpik 2000 negara, Megat Amir Faisal Ibrahim dan Mohd. Sany Muhammad Fahmi turut diberi rawatan di hospital kerana beberapa kecederaan akibat dipukul dan ditendang penyokong Nepal.

Bagaimanapun, Dr. Michael Fleming yang mengesahkan Rafdi mengalami kecederaan itu memberitahu bahawa pemain tersebut tidak menghadapi masalah serius.

''Setakat ini, dia mengalami kesakitan di bahagian rusuk, keadaan tidak membimbangkan tetapi kita menunggu laporan X-Ray yang akan dijalankan nanti,'' kata beliau. Berikutan itu, perlawanan antara Malaysia dengan Nepal yang terhenti pada kedudukan 1-1 dibatalkan bagi menunggu tindakan lanjut daripada Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).

Kejadian semalam berlaku kira-kira pukul 6 petang sebaik pemain Nepal, Anil Subbha melakukan jaringan penyamaan dua minit sebelum perlawanan berakhir selepas Malaysia terlebih dahulu memperoleh gol minit ke-74 menerusi Rafdi yang masuk menggantikan Khalid Jamlus.

Sebahagian besar daripada kira-kira 200 penyokong Nepal menyerbu ke dalam padang untuk meraikan jaringan penyamaan iaitu sebelum bertindak liar mengejar pemain Malaysia sambil memukul dan menendang mereka.

Lebih mengecewakan, kegagalan pihak berkuasa yang berkawal di stadium tersebut untuk bertindak pantas menyebabkan ramai pemain Malaysia cedera.

Tanpa perlindungan sewajarnya, pemain Malaysia terpaksa berlari mendapatkan perlindungan di bilik persalinan stadium dan bilik VIP.

Dua pegawai Malaysia, Aleksandar Bozenko dan jurulatih penjaga gol, Mandiaty Fall turut ditumbuk sewaktu cuba mententeramkan pemain Malaysia.

Sementara penolong pengurus, Soh Chin Aun yang berada di bangku pemain simpanan menyifatkan kejadian tersebut sebagai menakutkan.

''Keadaan cukup berbahaya, malah ada penyokong menggunakan tali pinggang sewaktu masuk ke tengah padang dalam percubaan untuk memukul pemain Malaysia,'' kata beliau.

Wartawan Malaysia juga terpaksa beredar dari tempat khas yang disediakan untuk membuat liputan disebabkan keadaan bahaya kerana di belakang kawasan itu menempatkan penonton Nepal.

Malah, seorang wartawan akhbar tabloid berbahasa Inggeris turut dikasari apabila penyokong Nepal merentap pen yang tergantung di lehernya.

Di atas faktor keselamatan, sekumpulan wartawan Malaysia terpaksa menumpang bas yang membawa pemain dan pegawai skuad Olimpik 2000 negara untuk keluar dari stadium tersebut untuk ke hotel dengan kawalan pihak polis Hong Kong.

Dalam satu lagi perlawanan, Hong Kong mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Filipina 4-1. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RvzIoqYy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan