Rabu, 21 Disember 2016

Bola sepak: Menang disanjung kalah dicemuh

ARKIB : 06/05/2000
Saudara Pengarang,
SAYA amat tertarik hati dengan pendapat yang dikirimkan oleh pengirim yang menamakan dirinya Bola Kertas, dari Bukit Mertajam.

Pendapat yang dikirimkan oleh saudara Bola Kertas memang ada kebenarannya, tetapi untuk menyalahkan pucuk pimpinan 100 peratus agak keterlaluan.

Bagi saya pucuk pimpinan FAM selama ini telah bertungkus-lumus untuk mencari formula terbaik bagi meninggi dan memartabatkan mutu bola sepak negara, seperti memperkenalkan Liga Semi Pro pada tahun 1988 dan seterusnya kepada Liga Profesional dan projek pembangunan akademik bola sepak di peringkat remaja. Ini termasuklah menganjurkan liga di peringkat umur di bawah 14, 16 dan 18 tahun seperti Piala Nike, dan menghantar pemain remaja menimba pengalaman di luar negara seperti remaja Akmal Rizal dan Juzaili Samion yang beraksi dengan skuad pelapis Racing Strausborg di Perancis.

Melihat aksi pasukan bola sepak negara di pusingan pertama Piala Asia di Shah Alam, kita sendiri boleh menilai sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Andai kata kita mampu sekalipun melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Asia di Lebanon, corak serta pemain skuad bola sepak negara kita tidak mampu pergi jauh. Mampukah kita untuk menghadapi pasukan bertaraf dunia seperti Iran, Korea Selatan, Jepun dan China? Barisan pemain yang sedia ada tidak begitu mantap di semua posisi.

Kemenangan kita di pusingan pertama di Shah Alam hanya dengan sedikit tuah yang menyebelahi pasukan negara, berdasarkan pertemuan menentang ketiga-tiga pasukan yang bertanding.

Lihat saja aksi pasukan Thailand ketika tewas kepada Malaysia dengan 2-3 meskipun Thailand tewas kepada pasukan negara kita tetapi corak dan taktik yang digunakan amat jelas membezakan mutu yang amat ketara dengan pasukan barisan pemain kita. Mereka menggunakan sepenuhnya kepakaran dan kemantapan barisan tengah, manakala barisan tengah pemain Malaysia tidak mampu untuk mengekang dan menahan asakan bertali arus dari barisan tengah Thailand.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim tidak mempunyai pilihan dengan barisan yang ada, pemain yang terpilih itulah yang terbaik setelah melalui berbagai tapisan. Dengan itu terbentuklah skuad negara di bawah bimbingan saudara Abdul Rahman Ibrahim.

Walaupun pemain yang terpilih bermain dengan semangat jitu dan kental, namun itu bukanlah jaminan untuk mencapai kemenangan. Cuba kita perhatikan Abdul Rahman Ibrahim terpaksa menggunakan kaedah hantaran jauh terus kepada penyerang kita untuk membolosi pertahanan lawan tanpa banyak menggunakan khidmat barisan tengah.

Ini memudahkan pihak lawan untuk mengawal penyerang kita. Di dalam sesebuah pasukan bola sepak barisan tengah amat penting, umpama kapal belayar memerlukan jurumudi, begitu jugalah dalam permainan bola sepak barisan tengah amat penting untuk mencorak dan merencanakan permainan, kerana barisan tengah merupakan faktor penting untuk menentukan kemenangan sesebuah pasukan.

Benar kata pemain kebangsaan Shukor Salleh pasukan bola sepak kita sekarang ketandusan jeneral di tengah padang, berbeza semasa era beliau.

Jurulatih amat sukar untuk memilih pemain di barisan tengah, kerana pada masa itu terlalu ramai pemain yang kreatif dan berkaliber untuk mengemudikan barisan tengah, sekadar menyebut beberapa pemain seperti Shukor Salleh, Redzuan Abdullah, Abdah Alif, Bakri Ibni, Ahmad Yussof dan ramai lagi. Ini memudahkan penyerang seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong ataupun Hassan Sani.

Inilah perbezaan yang dapat kita lihat sekarang, Rusdi Suparman dan Nizaruddin Yusuff tidak menerima sepenuhnya bantuan dari barisan tengah untuk menghasilkan gol, kerana tidak ada pemain yang mampu menggalas tugas di barisan tengah, walaupun Ahmad Sharul Azhar, Anuar Jusoh amat rajin bermain di barisan tengah, tetapi mereka bukan pemain yang kreatif untuk mencipta dan merencana gerakan.

Tetapi ada juga pasukan yang barisan tengahnya tidak begitu mantap, bagi menutup kelemahan faktor kepantasan dijadikan sandaran, sebagai contoh apabila pasukan bola sepak Korea Selatan bertanding di pusingan akhir Piala Dunia, mereka diibaratkan sebagai pasukan kerdil tetapi dengan kepantasan setiap pemainnya berjaya mengimbangi pasukan lain yang lebih ternama. Walaupun mereka tewas sekurang-kurangnya mereka telah menunjukkan satu persembahan yang bermutu.

Usahlah kita saling menuding jari menyalah antara satu sama lain, janganlah apabila menang diberi seribu sanjungan dan apabila kalah dicemuh dengan bermacam-macam tuduhan. Kita seharusnya sebagai peminat bola sepak negara, berikanlah kritikan dan pandangan yang membina, masih tidak terlewat untuk kita mencari dan membentuk pemain-pemain remaja di peringkat akar umbi agar umbi akar satu hari nanti akan ada pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Bakri, Abdah Alif, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Jamal Nasir. Semoga maruah pasukan negara yang sekian lama tercalar akan kembali digeruni di rantau Asia seperti satu ketika dulu.

Kepada saudara Abdul Rahman Ibrahim teruskan tugas yang diamanahkan kepada anda, jangan hiraukan segala kritikan yang negatif, bercakap lebih senang daripada melakukannya.

Sekalung tahniah atas kemampuan menyemaikan semangat cintakan kepada negara terhadap pemain. Kepada pemain tidak lupa juga saya ucapkan semoga satu hari nanti anda semua akan menutup mulut pengkiritik dengan semangat kental yang disemaikan dengan harapan ia akan terus berkekalan. Insya-Allah. - AZHAR YAHYA, Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4TSVkbB00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan