Selasa, 6 Disember 2016

Penentuan awal skuad baru negara


 

ARKIB : 31/07/1999
PENJAGA gol Malaysia, Azmin Azram Aziz mencuci muka selepas sesi latihan di Bandar Seri Begawan semalam. Malaysia menentang Singapura hari ini. - Gambar Bernama.

PERTEMUAN Malaysia dengan Singapura pada perlawanan pertama acara bola sepak Sukan SEA XX Brunei, hari ini lebih dilihat sebagai penentuan awal kemampuan skuad baru negara yang begitu mahu menunjukkan kebangkitannya.

Separuh akhir menjadi matlamat utama mereka pada percubaan kali kelima dalam temasya sukan dwitahunan ini, selepas empat kali gagal melangkah ke peringkat itu sejak 1991.

Malaysia sebenarnya berpotensi cerah untuk memperoleh pingat pada temasya ini, sekurang-kurangnya gangsa, jika dikira kepada kemampuan negara lain.

Begitupun, melihat kepada undian kumpulan, laluan skuad negara pada peringkat kumpulan lebih getir dan ia diakui sendiri oleh jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

Diletakkan dalam kumpulan bersama naib juara temasya lalu, Indonesia selain juara Piala Tiger tahun lalu, Singapura, Malaysia yang dibarisi sebahagian besar pemain muda lebih cenderung sebagai pasukan underdog kali ini.

Berdasarkan rekod pertemuan Malaysia-Singapura, kelebihan masih memihak kepada negara jiran itu sejak 1996.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada Piala Tiger 1996 yang berlangsung di Singapura tetapi Malaysia tewas 0-2 pada kejohanan yang sama tahun lalu.

Dalam Sukan SEA, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada perlawanan akhir temasya 1989 dengan kemenangan memihak kepada Malaysia untuk skuad negara meraih pingat emas ketiga sejak memenanginya pada 1977 dan 1979 tetapi ia juga yang terakhir sehingga kini.

Selepas kejayaan 1989, skuad negara langsung gagal meneruskan penguasaan pada temasya terbesar Asia Tenggara itu malah begitu sukar melangkah ke separuh akhir.

Di pihak Singapura - yang tidak pernah meraih emas dalam temasya itu sejak diperkenalkan pada 1977 - mereka muncul naib juara tiga kali pada 1983, 1985 dan 1989 dan tiga kali tempat ketiga pada 1991, 1993 dan 1995.

Begitupun, Singapura kali ini turut tidak menghantar pasukan terasnya apabila beberapa pemain senior terpaksa diketepikan dan mereka bersandarkan kepada pemain muda.

Namun, Singapura yang dibimbing jurulatih Vincent Subramaniam masih menggunakan khidmat bekas bintang mereka, Fandi Ahmad tetapi pemain penyerang itu kali ini bertindak sebagai pembantu Subramaniam di Brunei.

Juara Piala Tiger 1998 itu bertandang ke Brunei tanpa bintang seniornya seperti mana Malaysia yang ketiadaan penyerang sensasi Azman Adnan dan Zami Mohd. Nor.

Mereka mempertaruhkan penyerang muda Ahmad Latif Khamaruddin dan Indra Sahdan Daud.

Temasya kali ini juga merupakan penentuan kepada skuad baru bimbingan Rahman, jurulatih dari Terengganu, selepas pasukan negara dibubarkan pada 1997 ekoran aib yang diterima di Jakarta.

Setelah sebelas perlawanan persahabatan diadakan sepanjang bimbingan Rahman dalam dan luar negara termasuk perlawanan dengan kelab Liga Perdana England, Arsenal, keputusan sama ada berjaya atau tidak pasukan ini bergantung kepada keputusan di Brunei ini.

Apa pun, ramai yang menganggap skuad Rahman mampu menyambar pingat pada temasya ini berdasarkan pemerhatian dan keputusan yang dicatat pada siri perlawanan persahabatan skuad negara.

Namun, warna pingat tidak diketahui tetapi yang pasti, pasukan harapan ini mampu mara lebih jauh atau lebih tepat, mampu memecah kebuntuan ke separuh akhir.

Selain Indonesia dan Singapura, pasukan lain dalam kumpulan Malaysia ialah Kemboja dan pasukan tuan rumah, Brunei.

Manakala kumpulan A terdiri juara bertahan, Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar dan Laos.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S45hJTAh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan