Jumaat, 9 Disember 2016

Pakej istimewa SV Wehen untuk Fadzli

ARKIB : 28/09/1999
PELUANG keemasan sekali seumur hidup terbentang luas untuk pemain berbakat Pahang, Fadzli Shaari apabila kelab bahagian tiga Jerman, SV Wehen bersetuju menawarkannya satu pakej istimewa bagi menimba pendedahan profesional di sana, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Penasihat Teknikal Jabatan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann yang mengusahakan kedatangan Fadzli sebelum ini, baru saja menghantar dua surat tawaran Wehen itu kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Surat kepada Timbalan Presiden FAM itu menyatakan jaminan Wehen untuk menempatkan Fadzli berlatih dan belajar dengan Sekolah Perniagaan Brita yang juga merupakan syarikat penapis air terkenal Jerman.

Fadzli yang kini bersama Akademi Bola Sepak Pahang, turut mendapat reaksi menggalakkan dari Wehen sepanjang empat minggu latihan pendedahan terdahulunya di sana.

Malah bertolak dari situlah, Wehen turut sanggup menawarkan kontrak dua tahun kepada Fadzli dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000 termasuk bonus perlawanan di samping kemudahan penginapan dan penerbangan percuma.

Jika Fadzli, 16, bersetuju, dia dijangka berlepas ke Wehen pada awal tahun depan sebaik sahaja berakhirnya cuti musim sejuk di Jerman.

Namun sebelum itu dia diperlukan untuk menimba latihan giat mempelajari bahasa Jerman di Institut Goethe, Kuala Lumpur dengan tajaan sepenuhnya kerajaan Jerman.

Obermann yang mengawasi prestasi Fadzli sejak 1995, sudahpun bertemu dengan Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan pegawai akademi negeri itu untuk mendapatkan pelepasan Fadzli.

Fadzli sekembalinya ke tanah air selepas ujian pendedahan, bulan lalu, pernah berkata, dia lebih suka kekal bersama Pahang daripada kembali ke Jerman hanya atas alasan berasa sunyi berjauhan daripada keluarga dan rakan.

Dia ke Wehen sejak akhir Julai lalu bersama Rudie Ramli dari Selangor yang turut menimba pendedahan dengan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Pada 1997, Fadzli terpilih mewakili skuad bawah 16 tahun Malaysia pada Piala Nike Antarabangsa.

''Fadzli baru pulang ketika disoal media tentang kerjaya bola sepaknya. Ketika itu dia belum pasti apakah dia mahu kekal di Pahang atau menyambung pendedahan di Jerman.

''Ia merupakan satu proses yang biasa bagi seorang remaja apabila berasa kesunyian di Jerman apatah lagi kurang fasih berbahasa Inggeris,'' kata Obermann.

Obermann turut yakin, ada keluarga Melayu atau Islam lain yang akan membantunya mengurangkan rasa sunyi bila berjauhan daripada keluarga.

''Apa pun, saya pasti Fadzli akan pulang dengan pengetahuan baru tentang bola sepak moden untuk dicurahkan pula kepada negeri dan pasukan kebangsaan, sedikit masa lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SM3LmbAv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan