TEERASIL (tengah) miliki bisa
robek gawang lawan.
Serbegeth Singh
Hujung minggu ini menyajikan
perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2016 yang bakal kita saksikan
tanpa tekanan. Kita boleh menarik nafas lega kerana pasukan negara kita gagal
melayakkan diri dan sejak minggu lalu, pelbagai pendapat sudah disuarakan.
Hinggakan, ejen bola sepak juga
mahu terbabit melenting seperti kera kerana tidak setuju dengan analisa
persembahan yang dibuat.
Kini, tiba masanya untuk kita
meraikan persembahan cemerlang serta menarik perhatian. Sudah menjadi adat
untuk saya memilih kesebelasan pemain yang bagi saya mempamer aksi
menggembirakan.
Apabila kita memilih penjaga
gol, sudah tentu kita tertarik dengan ‘handling’, ‘agiliti’ serta penguasaan
kotak penalti. Di sini saya memilih penjaga gol Singapura Hassan Sunny kerana
beliau mempunyai ciri ciri tambahan seperti ‘distribution’ yang banyak mencetus
serang balas. Hassan begitu selesa melakukan teknik membuat ‘drop kick’ yang
kemas dan menempuhi sasaran dengan peratusan yang tinggi.
Kelebihan ini saja yang
memisahkan Hassan dengan Kawin Thamsatchanan dari Thailand serta Khairul Fahmi.
Di posisi bek kanan, kita sedia
tahu kebolehan Tristan Do dari Thailand, tetapi pilihan saya adalah Rizal
Ghazali bukan kerana saya berat sebelah, tetapi kita tidak boleh pertikaikan
bahawa pemain ini membuktikan kebolehan dengan persembahan kemas serta konsisten
melakukan tugas bertahan serta menyerang. Kita pasti tidak sangka bahawa ini
adalah kali pertama dia beraksi di pertandingan antarabangsa.
Kita kembali ke Thailand untuk
pilihan bek kiri, Theerathon Bunmathan yang makin matang dengan kaki kidal yang
makin menyengat. Pemain ini berjaya melonjakkan prestasi dengan persembahan
setiap kali saya menyaksikannya di atas padang. Berusia 26 tahun, pemain ini
sudah bersedia untuk beraksi di tahap yang lebih tinggi seperti di Sepanyol
atau Itali.
Di dalam pertandingan ini,
pemain bek tengah dari Singapura Madhu Mohana menunjukkan gaya seorang pemain
pertahanan sebenar. Dia tidak dapat di tewaskan sekiranya bola berada di atas
padang atau di udara. Dia kental melakukan ‘tackling’ dan menunjukkan kepekaan
terhadap ruang apabila merancang strategi pertahanan. Walaupun Thailand dan
Vietnam mungkin mempunyai gandingan bek tengah yang baik, tetapi Madhu Mohana
menonjol sebagai pertahanan terbaik individu.
Beraksi dengan empat pemain
tengah, pemain Vietnam yang menyarung jersi nombor lapan, Nguyen Trong Hoang
menunjukkan persembahan terbaik di sebelah kanan. Kebolehannya mara dengan bola
menjadi kekuatan yang berjaya mengkucar kacirkan lawan serta membuka ruang
untuk rakan sepasukan.
Di bahagian tengah, playmaker
terbaik Asia Tenggara, Sarach Yooyen digandingkan ‘midfield dynamo’ dari
Indonesia iaitu Stefano Lilipaly. Sarach mengawal tempo permainan Thailand dan
mempunyai kebolehan membuat hantaran yang sukar di baca pemain lawan. Dia
mempunyai aura dan semangat juang yang begitu tinggi.
Pemain tengah yang begitu
bertenaga, Lilipaly membuktikan kebolehan sebagai ‘all round midfielder.’
Pemain pertama yang terbabit untuk menerkam bola sewaktu bertahan, pemain
pertama yang menjadi option untuk rakan sepasukan membuat hantaran dan Lilipaly
pula sudah membuktikan yang dia juga boleh melakukan penyudah.
Beraksi sedikit dari sebelah
kiri bahagian tengah maka pemilihan Chanatip Songkrasin tidak dapat
dipertikaikan. Pemain ini makin matang dan mempunyai kebolehan menggunakan
ruang untuk memerangkap pihak lawan. Dia bijak menarik perhatian pemain lawan
untuk lebih memerhatikannya dan langsung lupa kedudukan bola. Helah itu membuka
ruang untuk rakan sepasukan mempunyai lebih masa menguasai bola.
Di bahagian serangan, kapten Thailand
Teerasil Dangda sekali lagi menggunakan tenaga serta kekuatan tubuhnya untuk
merobek pasukan lawan. Kini sudah tiba masanya untuk dia menjaringkan lebih
banyak gol di peringkat separuh akhir menentang Myanmar.
Pemain Indonesia Boaz Solossa
menjadi tonggak pasukan dengan kebijaksanaan membuat pecutan pendek ke belakang
barisan pertahanan atau menggunakan ruang di depan pertahanan lawan untuk
membuat hantaran kepada rakan sepasukan. Persembahan dia kini lebih kepada
‘short burst’ pergerakan atau larian dengan bola. Jika masa dulu dia melakukan
pecutan empat puluh meter dengan dan tanpa bola, kini dia tidak kehilangan
kemampuan pecutan, tetapi lebih menumpukan kepada sepuluh meter saja.
Untuk mengisi posisi serta
melengkapkan kesebelasan terbaik saya maka kapten Vietnam Le Cong Vinh sekali
lagi menjadi inspirasi pasukan sebagai pemain yang lengkap. Dia memiliki
segala-galanya - ability, touch, vision, awareness, finishing.
Mungkin di peringkat kalah mati
Piala AFF Suzuki 2016 akan menonjolkan persembahan individu yang terbaik,
tetapi saya yakin pemilihan pemain ini yang masih lagi beraksi tidak akan
berubah.
Untuk kesebelasan terbaik
pilihan ini, saya memilih untuk formasi 3-4-3.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:12 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan