Sabtu, 24 Disember 2016

Kata dua Kim Swee

 
HAMIDIN (belakang dua kiri), Kim Swee (berdiri kiri) bergambar bersama sebahagian pasukan Dugong All Stars pada sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: “Jika Presiden baharu (FAM) mahu saya kekal, saya akan kekal, jika tak mahu saya akan pergi,” kata pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengenai kemungkinan kedudukannya bakal terjejas jika berlakunya perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun depan.

Menurut pengendali berusia 46 tahun itu, beliau tidak mahu masalah pentadbiran FAM mengganggu tugasnya mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar dua bulan lagi.


“Saya ada tugas, saya tak perlu fikir siapa yang akan menjadi presiden. Apa yang penting untuk memberi tumpuan kepada Piala AFF. Itu lebih penting daripada isu lain,” tegas Kim Swee kepada pemberita selepas majlis pelancaran perlawanan amal Hari Malaysia dan pengumuman logo baharu Harimau Malaysia semalam.

Kim Swee, bekas jurulatih Harimau Muda A menandatangani kontrak dua tahun awal tahun ini bagi mengambil alih tugas Dollah Salleh yang meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan skuad kebangsaan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun kedudukannya menjadi tanda tanya apabila Exco FAM bulan lalu membuat keputusan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan bagi memilih presiden dan barisan Exco baharu yang sepatutnya diadakan pada 2018.

Lebih mengejutkan apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers kelmarin mendakwa Kim Swee dan jurula
tih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt tidak akan memegang jawatan mereka lagi tahun depan.

Malah Tunku Ismail juga mengakui mengetahui pengganti jurulatih berkenaan dan juga presiden baharu FAM bagaimanapun dalam tinjauan Arena Metro semalam, entri berkenaan sudah dikeluarkan dari Facebook rasmi kelab itu.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Tunku Ismail itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, apa saja keputusan mengenai pengurusan FAM bergantung kepada barisan Exco yang baharu nanti.

“Saya tak pasti, mungkin itu pandangan Tunku Mahkota Johor sendiri, saya tak pasti apa maksud beliau. Kerana apa yang saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan, pemilihan itu akan memilih presiden dan barisan Exco seperti pemilihan sebelum ini.

“Terpulang kepada barisan baharu akan datang untuk tentukan (kedudukan Kim Swee dan Bernhardt),” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:26 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan