Khamis, 15 Disember 2016

Pasukan kebangsaan hadapi lima perlawanan ujian

ARKIB : 31/01/2000
SKUAD bola sepak kebangsaan bakal mengharungi siri ujian paling getir dalam tempoh dua bulan ini - ujian yang bakal mengukur sejauh mana persiapan mereka menjelang pusingan kelayakan kumpulan 8 Piala Asia, bulan depan, lapor JOHARI SHAWAL.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengatur sekurang-kurangnya lima perlawanan persahabatan dengan pasukan negara jiran termasuk Australia dan Thailand.

Selain Singapura yang telah mengesahkan persahabatan di republik itu pada 7 Februari ini, skuad negara dijangka menghadapi pasukan kebangsaan Mauritius pada 12 dan 14 Februari di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menentang skuad kebangsaan Thailand dan Myanmar di negara berkenaan pada minggu berikutnya.

Pasukan bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim itu dijangka berlepas ke Australia pada pertengahan Mac selepas perlawanan dengan Myanmar, untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua perlawanan dengan kelab ternama negara berkenaan.

Rahman berkata, perlawanan yang diatur itu begitu getir tetapi ia adalah kesempatan terbaik untuknya menilai kemampuan sebenar pemain.

''Kalah menang bukan dalam perkiraan kita tetapi penyusunan pasukan, persefahaman, ketahanan, kecergasan dan keyakinan diri pemain.

''Kita (FAM) aturkan seperti itu untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain untuk menilai sendiri kemampuan mereka,'' kata Rahman ketika dihubungi semalam.

Skuad negara baru selesai menjalani latihan ketahanan fizikal kendalian jurulatih Alexander Bozenko selama 10 hari di Port Dickson, kelmarin.

Mereka menyambung latihan di kem latihan Bukit Jalil dan akan diuji kecergasan sekali lagi pada 1-3 Februari sebelum siri persahabatan berkenaan.

''Memang kita perlu adakan persahabatan sebanyak mungkin dengan pasukan yang lebih gagah.

''Setakat ini perlawanan dengan Singapura sahaja telah disahkan,'' tambah Rahman.

Pertemuan dengan Singapura minggu depan adalah adalah kali kedua dalam tempoh sebulan ini selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam persahabatan di Amiriah Arab Bersatu, bulan lalu. Malaysia menang 1-0 dalam perlawanan itu.

Begitu pun sekembali dari Port Dickson, Rahman terpaksa mengetepikan penjaga gol, Megat Amir Faizal, pemain Ching Hong Aik dan Ahmad Shahruddin Rosdi. Megat mengalami retak buku lali yang memaksanya melupakan terus Piala Asia manakala kecederaan lama Hong Aik dan Shahruddin berulang.

''Shahruddin dan Hong Aik akan dipanggil semula jika kecederaan mereka pulih tetapi Megat terpaksa lupakan Piala Asia kerana cederanya agak serius,'' kata Rahman.

Beliau memanggil penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Yazid Yassin menggantikan tempat Megat.

Kelayakan kumpulan 8 akan berlangsung dua pusingan iaitu di Kuala Lumpur (25-29 Mac) dan di Bangkok (4-8 April). Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4StvcI3k6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan