Selasa, 6 Disember 2016

Malaysia tebus maruah

ARKIB : 05/07/1999
TOKYO - Skuad bola sepak Malaysia menamatkan saingan dengan mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Nepal pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan Enam Asia semalam.

Kemenangan di Stadium Nasional Tokyo ini tidak lagi bermakna dan sekadar melengkapkan jadual menebus kehampaan skuad negara ekoran insiden pergaduhan yang berlaku di Hong Kong pada pusingan yang pertama.

Pada perlawanan pusingan pertama skuad pimpinan Hatem Souissi sekadar seri 1-1 ketika berlaku pergaduhan apabila kira-kira 100 penyokong Nepal menyerang pemain negara di minit-minit terakhir perlawanan.

Insiden itu menyebabkan lima pemain negara mengalami kecederaan, termasuk penjaga gol yang terpaksa dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, lebih mengejutkan apabila FIFA memutuskan kedudukan seri 1-1 itu sebagai keputusan muktamad, di samping mengenakan denda RM19,000 ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hatem bagaimanapun menyifatkan kemenangan kali ini sebagai diluar jangkaan dan membabitkan permainan bersih.

''Ia tidak seperti jangkaan banyak orang kerana apa yang berlaku di Hong Kong umpama perang dan bukan satu perlawanan.

''Kami bernasib baik kerana permainan ini berlangsung dengan baik. Ia juga dihasilkan oleh keputusan tepat oleh pengadil,'' katanya.

Malaysia menduduki tangga ketiga di belakang Hong Kong dan Jepun yang muncul juara kumpulan 6 serta layak ke pusingan kedua.

Skuad negara yang membelasah Filipina 5-0 dalam perlawanan terdahulu, membuka tirai jaringan menerusi Akmal Rizal Rakhili pada minit ke-23.

Bagaimanapun pemain Nepal, Rajan Raymajhi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-29.

Pada babak kedua, Chow Chee Weng menambah perit Nepal apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-55 dan tiga minit selepas itu Akmal Rizal menjaringkan gol ketiga.

Bagaimanapun tiga minit sebelum tamat Nepal merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi jaringan Deepak Lama.

Sementara itu, Jepun sekali lagi membelasah Filipina apabila mencatat kemenangan 11-0 menerusi hatrik oleh Hirase, minit kelima, 12 dan 67.

Nakata pada minit kelapan, Ono (24), Nakamura (28 dan 29), Ichikawa (42), Motoyama (53), Myojin (72) dan Toda (79).

Kemenangan ini menceriakan lagi 32,957 penyokong tuan rumah selepas pasukan itu sebelum ini membelasah Filipina 13-0 pada pusingan pertama di Hong Hong. - AFP

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S3DYDNYY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan