Isnin, 5 Disember 2016

FAM kaji sistem pemberian mata

ARKIB : 28/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengkaji semula sistem pemberian mata bagi menentukan pasukan menang melalui tendangan penalti yang diperkenalkan musim ini dan waktu mula perlawanan Liga Perdana.

Buat masa ini tidak ada keputusan mengenai perubahan format Liga Perdana sehingga satu kajian dijalankan secara mendalam, kata Jawatankuasa Pertandingan FAM di Kelana Jaya, semalam.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, menjelaskan waktu permulaan perlawanan masa kini, iaitu 8.45 malam, akan terus dikekalkan buat sementara waktu.

''Kita masih mengkaji kesesuaiaan masa untuk memulakan perlawanan dan juga tendangan penalti bagi menentukan pasukan yang menang selepas sesuatu perlawanan berakhir dengan seri,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM semalam.

Redzuan berkata jawatankuasa pertandingan tidak boleh membuat keputusan yang melibatkan format pertandingan Liga Perdana tanpa mendapat pandangan jawatankuasa teknik serta kelulusan majlis FAM.

Musim ini, pasukan yang seri dalam sesuatu perlawanan Liga Perdana diwajibkan mengambil tendangan penalti bagi mencapai keputusan muktamad.

Pasukan yang menang diberi dua mata manakala yang kalah diberikan satu mata.

Manakala pasukan yang menang secara mutlak dalam sesuatu perlawanan diberi tiga mata penuh.

Sementara itu, Redzuan mengumumkan bahawa perlawanan akhir Piala FA antara Kuala Lumpur dan Terengganu akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Ahad depan (4 Julai).

Katanya, kedua-dua pasukan bersetuju dengan gelanggang perlawanan akhir itu yang boleh menampung penonton seramai 25,000.

Mengenai aduan Angkatan Tentera bahawa pengadil perlawanan terakhir mereka dengan Melaka dalam Liga Perdana Dua minggu lepas tidak mematuhi peraturan dalam mengikut senarai pemain mengambil tendangan penalti, Redzuan berkata dakwaan itu tidak berasas.

Angkatan Tentera mendakwa pengadil tidak mengikut prosedur senarai pemain yang mengambil tendangan penalti dan tindakan tersebut mengakibatkan mereka tewas 5-4 dalam perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam masa penuh.

Redzuan juga berkata pengundian play-off lapan pasukan ke pertandingan Piala Malaysia akan diadakan pada 7 Julai ini.

Katanya, undian secara adil akan dilakukan untuk menentukan pasukan-pasukan itu terbahagi dalam dua kumpulan.

Empat pasukan terbaik selepas pusingan play-off akan bertanding dalam pertandingan Piala Malaysia diikuti dengan kelayakan secara automatik enam pasukan teratas Liga Perdana Satu dan dua pasukan teratas Liga Perdana Dua.

Pertandingan play-off akan bermula 21 Ogos hingga 14 September. Pertandingan Piala Malaysia bermula 25 September. _ Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RyDxm1S2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan