ARKIB : 27/08/1999
SIRI kegagalan yang dialami
skuad bola sepak Malaysia pada penyertaannya di kejohanan-kejohanan
antarabangsa, tidak menjejaskan minat badan sukan dan agensi swasta untuk
mendukung usaha pembangunan bola sepak tempatan.
Walaupun pentadbir bola sepak
tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus dicemuh ekoran aksi buruk
pasukan kebangsaan, namun situasi itu berjaya mengundang simpati pihak luar.
Semalam, Majlis Sukan
Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) menjadi badan sukan kedua selepas Majlis Sukan
Negara (MSN), menawar khidmat untuk membantu persatuan bola sepak negara itu.
Badan sukan sekolah kebangsaan
yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan itu, akan mengambil alih program
pembangunan bola sepak yang membabitkan pelajar di sekolah rendah.
''Sebagai permulaan... kita
telah mewujudkan program yang dikenali sebagai tunas bola sepak,'' kata
Penasihat Teknikal MSSM , Holger Obermann di majlis pelancaran program
berkenaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
''Objektif utama program ini
adalah memupuk cinta terhadap bola sepak dari peringkat akar umbi. Pemain juga
akan ditekankan aspek kemahiran, mentaliti dan pendidikan,'' katanya lagi.
Usaha MSSM itu mendapat
sokongan baik dari agensi swasta, apabila syarikat telekomunikasi antarabangsa
Jerman, Siemens bersetuju menjadi penaja utama program berkenaan.
Semalam, syarikat itu menghulur
tajaan sulung sebanyak RM25,000 untuk pembelian 500 biji bola yang akan
diagihkan kepada sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.
Siemens juga bersetuju
membiayai pembelian peralatan sepanjang program itu, yang akan dikendalikan 250
tenaga pengajar, yang terdiri daripada bekas pemain bola sepak.
Menurut Obermann, dia akan
menggunakan kesempatan ini melahirkan lebih ramai pemain untuk dihantar beraksi
dengan kelab luar negara, terutamanya di Jerman bagi membiasakan mereka dengan
saingan bola sepak antarabangsa.
''Peringkat ini amat penting.
Jika program ini dapat bertahan dan konsisten, saya yakin Malaysia mampu
memiliki kelompok pemain yang bertaraf antarabangsa dalam tempoh 10 tahun dari
sekarang.''
Sementara itu, penajaan Siemens
semalam disampaikan naib presiden perhubungan korporat dan pemasarannya, Felix
Heinimann kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunos.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4S9iFmOmH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan