ARKIB : 05/08/1999
LEGA. Begitulah reaksi Abdul
Rahman Ibrahim sesudah anak didiknya memberikan kemenangan sulung buat pasukan
bola sepak Malaysia pada temasya Sukan SEA XX di Brunei, semalam.
Jurulatih itu jelas gembira
dengan kemenangan 7-2 ke atas Kemboja, sekurang-kurangnya meredakan kemarahan
peminat-peminat bola sepak di Malaysia sesudah kekalahan terburuk 0-6 di tangan
Indonesia, kelmarin.
Setidak-tidaknya, Malaysia
masih mengekalkan reputasinya sebagai pasukan di atas Kemboja dalam ranking
Asia Tenggara. Kemboja sebelum ini tewas 0-8 kepada Malaysia pada temasya 1995
di Chiang Mai, pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sebelum ke Brunei.
Begitupun, Rahman lebih melihat
kemenangan itu sebagai tanda pemulihan skuad negara.
''Sekurang-kurangnya mereka
menunjukkan pemulihan selepas bala yang dilontar Indonesia. Cuma kita harus
memastikan kemenangan pada perlawanan terakhir (menentang Brunei esok),'' kata
Rahman pada sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Namun, Rahman masih kecewa
dengan barisan belakang skuad negara yang lalai ketika mendahului 2-0 sebelum
Kemboja menyamakan kedudukan 2-2.
''Mereka masih mengekalkan
simpton yang sama dalam perlawanan-perlawanan terdahulu. Sepatutnya ia tidak
berlaku lagi dalam perlawanan ini,'' katanya. - Utusan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4S4V902SS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan