ARKIB : 07/04/2000
BAYANGAN Lebanon terus lenyap
dari pandangan Malaysia yang terkulai dengan kekalahan 4-1 kepada Korea Utara
pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak kelayakan Piala Asia Kumpulan
Lapan yang disulami dengan mutu pengadilan berat sebelah di Stadium
Supphachalasai, Bangkok semalam.
Kekalahan besar itu menutup
terus harapan Malaysia yang sebelum ini bertekad untuk cuba menyingkap semula
peluang bersaing sehingga perlawanan terakhir, selepas kecundang 3-2 kepada
Taiwan pada perlawanan pertama Selasa lalu.
Pertemuan dengan Thailand esok
sekadar pelengkap jadual tetapi sekurang-kurangnya mengekalkan rekod baik ke
atas jaguh Asia Tenggara itu dalam kelayakan ini. Thailand bagaimanapun harus
mencatat kemenangan ke atas Malaysia untuk mengesahkan langkah mereka ke
pusingan akhir di Lebanon, Oktober depan.
Gol-gol Korea Utara dihasilkan
oleh Ri Kyong Min pada minit ke-15, Ryang Kyu Sa (47) dan dua gol menerusi Ri
Hyok Chol (72, 83) manakala gol tunggal skuad negara dijaringkan oleh pemain
tengah, Ooi Hoe Guan (26).
Aksi pantas dan keras yang
dipamerkan Korea Utara jelas menjadi senjata utama pasukan lawan itu yang mudah
merobek pertahanan longgar Malaysia.
Biarpun skuad negara mampu
memberi saingan pada babak pertama sehingga berjaya mengikat kedudukan 1-1,
babak kedua jelas milik Korea Utara yang melancarkan serangan menggila sehingga
berjaya menggegarkan jaring Malaysia tiga kali.
Ketua pasukan, B. Rajinikandh
dan penyerang Bobby Pian pada mulanya mampu meyakinkan pasukan dengan percubaan
masing-masing pada babak pertama termasuk tendangan kencang Anuar Jusoh ke
sudut gawang lawan yang memaksa penjaga gol Korea Utara, Jang Jong Hyok bekerja
keras.
Korea Utara yang beraksi tanpa
tonggak pertahanan Ri Man Chol yang dibuang padang pada perlawanan dengan
Thailand kelmarin, hanya mendapat satu peluang pada minit ke-31 yang terus
menghasilkan gol pembukaan.
Begitupun, jaringan itu lebih
dibantu oleh penjaga garisan, Wickerama Lunga dari Sri Lanka yang membenarkan
bola terus dibawa Ri Kyong Min yang melepasi perangkap ofsaid Malaysia sebelum
menggelecek Mohd. Sany Fahmi yang keluar dari gawangnya, untuk menolak masuk
gol pertama Korea Utara.
Anuar cuba membantah tetapi
tidak dilayan oleh pengadil perlawanan, S. Kennedy dari Singapura. Kecewa
dengan gol yang tidak sepatutnya dibenarkan itu, Malaysia menyusun gerakan.
Idris Karim melintangkan bola
leret pada minit ke-26 kepada Hoe Guan di depan gawang lawan dan pemain tengah
itu sempat mengambil masa sebelum melepaskan tendangan padu untuk gol penyamaan
skuad negara.
Malaysia harus mampu menambah
gol kedua apabila Idris yang berjaya melepasi dua pertahanan lawan, melarikan
bola secara solo dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan dan Kennedy meniupkan
wisel, tetapi melayangkan kad kuning kepada Idris.
Namun, kali ini penjaga garisan
dari Maldives, Abeer Ismail diserbu oleh Ahmad Shahrul Azhar yang membantah gol
kedua Korea Utara selepas Kyu Sa jelas berada pada kedudukan ofsaid tetapi gol
itu tetap dibenarkan.
Keadaan itu bagaikan
meruntuhkan semangat skuad negara sebaliknya diambil kesempatan oleh Korea
Utara yang melancarkan rangkaian serangan berbahaya ke gawang Malaysia menerusi
percubaan Ju Song Il dan Ko Jong Nam.
Sany akhirnya tewas lagi
menerusi dua ledakan kencang Hyok Chol pada minit ke-72 dan 83 hasil kesilapan
pertahanan negara, tetapi lebih banyak dibantu penjaga garisan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TFeE0EdM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan