ARKIB : 04/08/1999
KEMENANGAN mungkin tidak
membawa sebarang makna buat skuad bola sepak Malaysia apabila turun menentang
Kemboja pada perlawanan ketiga kumpulan B Sukan SEA XX Brunei di padang
Kompleks Sukan Berakas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Jika menang sekalipun, peluang
Malaysia untuk melayakkan diri ke separuh akhir amat tipis memandangkan pencabar
terdekat, Singapura dan Indonesia berada pada kedudukan lebih selesa sebagai
dua pasukan terbaik kumpulan.
Hakikat itu diakui jurulatih
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dan beliau hanya melihat perlawanan dengan
Kemboja sebagai penentu seburuk mana skuad bimbingannya.
''Selepas tewas dua perlawanan,
harapan kita memang tiada tetapi sebenarnya itu secara teori. Kita berpeluang
jika berlaku sesuatu ke atas Singapura misalnya.
''Tetapi kita sepatutnya tidak
mengharapkan kepada kecelakaan yang menimpa pasukan lain, cuma kita sebenarnya
masih ada peluang walaupun begitu tipis,'' kata Rahman di luar perkampungan
Sukan SEA di Bandar Seri Begawan, semalam.
Selepas dua kekalahan kepada
Singapura 1-2 dan Indonesia 0-6, Malaysia kini hanya menumpukan perhatian supaya
tidak tewas lagi dalam dua perlawanan terakhir.
Perlawanan menentang Kemboja
hari ini dianggap Rahman sebagai penebus kekecewaan pasukan itu dan semestinya
kemenangan sulung mahu dicari dalam temasya ini.
''Kita kena baiki semula
persembahan kita selepas dua perlawanan yang tidak memuaskan. Saya lihat ramai
pemain utama kita tidak beraksi pada tahap sebenar berbanding dalam
perlawanan-perlawanan persahabatan sebelum ini.
''Dua perlawanan seterusnya ini
akan memperlihatkan lagi sejauh mana atau selemah mana pasukan kita,'' ujar
Rahman.
Jurulatih itu mengulangi tidak
mampu memberi jawapan yang tepat mengenai kemerosotan para pemainya terutama
pemain utama di Brunei berbanding kecemerlangan masing-masing dalam perlawanan
persahabatan.
''Saya hanya menemui dua faktor
iaitu pemain tidak berada pada tahap terbaik kerana hanya dikumpulkan dalam
tempoh tiga bulan selepas liga tempatan.
''Dalam tempoh 25 hari pula
kita mengharungi hanya lapan perlawanan persahabatan yang sukar walaupun di
peringkat antarabangsa dan tentunya tempoh itu tidak mencukupi.
''Faktor kedua seperti yang
saya sudah katakan berulang kali iaitu pemain kurang didedahkan kepada
perlawanan yang kompetitif,'' katanya.
Menurut Rahman, sampai sekarang
sehingga beraksi pada pertandingan yang kompetitif, pemain masih tercari-cari
rentak permainan menyebabkan mereka kurang yakin.
Ditanya mengenai kemungkinan
beliau melakukan rombakan ke atas pasukan untuk menentang Kemboja, Rahman
berkata:
''Bukan soalnya untuk
memikirkan tentang rombakan pemain tetapi bagaimana untuk mengatasi keadaan
sekarang.''
Begitupun, Rahman memberitahu
beliau akan menurunkan pemain yang belum beraksi seperti penjaga gol V.
Murugan.
Kemboja kini di tangga keempat
dengan satu mata selepas seri 3-3 dengan Brunei, kelmarin. Pada perlawanan
pertamanya, Kemboja berjaya mengekang Indonesia sehingga minit terakhir
perlawanan sebelum tewas 0-1. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S4RVAHUl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan