Selasa, 13 Disember 2016

Rahman dedah pemain muda di UAE


 

ARKIB : 22/12/1999
SKUAD bola sepak kebangsaan berlepas ke Amiriah Arab Bersatu semalam untuk perlawanan persahabatan dengan skuad negara itu. Pertemuan kedua-dua pasukan ini disifatkan sebagai langkah terbaik memantapkan persediaan menjelang dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Asia dan kelayakan Piala Dunia 2002. PARA pemain negara sibuk memunggah barang-barang di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yakin skuad kebangsaan yang berlepas ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai malam tadi merupakan pasukan yang bakal menebus maruah negara selepas persembahan yang mengecewakan pada Sukan SEA XX Ogos lalu, lapor DALLIA DUNSTAN.

Skuad kebangsaan akan menyertai tiga perlawanan persahabatan dalam lawatan sambil bermain di UAE sehingga 29 Disember ini.

Abdul Rahman berkata, dia akan menggunakan peluang tersebut untuk melihat dan memilih pemain-pemain yang berpotensi untuk membarisi skuad kebangsaan dan sebagai persedian untuk perlawanan-perlawanan antarabangsa yang lain pada tahun depan.

''Serta kejohanan utama bagi skuad ini pusingan kelayakan Kejohanan Piala Asia dua peringkat di Kuala Lumpur dan Bangkok pada Mac dan April ini,'' katanya yang ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya semalam.

Pada tahun ini, antara persembahan yang amat mengecewakan oleh skuad kebangsaan negara adalah kekalahan yang mengaibkan apabila dibelasah teruk 6-0 oleh Indonesia pada Sukan SEA di Brunei Ogos lalu.

Ini adalah kekalahan terburuk pernah dialami pasukan negara yang baru dibentuk semula sejak Disember lalu selepas dibubarkan sebaik sahaja mencipta satu lagi kekalahan memalukan pada temasya yang sama di Jakarta 1997.

''Kita berharap barisan pemain-pemain muda yang tidak dikenali ini di samping pemain-pemain senior seperti B. Rajnikandh, Zami, Anuar dan Syamsul Amri Bakar akan mengembalikan nama baik negara pada persada bola sepak negara satu hari nanti,'' katanya.

Pemain-pemain muda yang lain yang membarisi 19 pemain itu adalah Lim Chan Yew dari Selangor, Megat Amir Faizal Ibrahim (Pulau Pinang) dan V. Saravanan (Perak).

Sementara itu, lima pemain lain tidak tersenarai bagi lawatan itu ialah Zami Mohamed Noor, Anuar Jusoh, Tengku Hazman Raja Hassan, Syamsul Amri Bakar dan Mohamed Sani Fahmi kerana masih mengalami kecederaan.

Tiga pemain yang digugurkan adalah pemain tengah Sabah, Henry Soimpon, bekas pemain pertahanan Olimpik 2000, S. Jayaprakash dan Mohamed Khalid Jamlus dari Perak.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SmzsT3UX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan