Jumaat, 9 Disember 2016

Sultan Ahmad lepas jawatan?

ARKIB : 10/10/1999
SESUDAH berkhidmat selama 15 tahun sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah semalam melahirkan hasrat untuk meletakkan jawatannya itu.

Sultan Ahmad berhasrat melepaskan kerusi nombor satu FAM itu bagi menumpukan sepenuh masanya kepada tugas selaku Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang turut disandangnya.

"Saya akan melepaskan jawatan saya di FAM dan saya tidak berhasrat untuk bertanding lagi pada pemilihan kongres akan datang," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, hasratnya itu akan diumumkan secara rasmi kepada mesyuarat majlis FAM bakal bersidang bulan depan.

"Saya akan memberitahu mesyuarat Majlis FAM, November ini dan saya akan mengumumkan kepada mereka tentang hasrat itu. Saya harap mereka boleh menerimanya kali ini," katanya.

Sultan Ahmad Shah, yang menjadi presiden FAM sejak 1984 menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah, berkata, tugasnya sebagai presiden AFC memerlukannya untuk selalu bergerak untuk melawat 45 negara gabungan.

Ujarnya, hasrat melepaskan jawatan di FAM timbul kerana beliau ingin memberikan komitmen 100 peratus kepada AFC dalam usaha memajukan bola sepak di rantau ini.

Pada Februari lalu, Sultan Ahmad Shah menafikan khabar angin bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden FAM sebaliknya berkata, cuma akan berbuat begitu bila tiba masanya.

Ketika Sukan SEA XX Brunei, Ogos lalu, beliau melahirkan kesediaannya untuk berundur jika Majlis FAM membuat keputusan mengenainya.

Desakan agar pucuk pimpinan FAM dirombak timbul ekoran prestasi mengaibkan skuad kebangsaan pada Sukan SEA apabila gagal ke separuh akhir kali keempat berturut-turut termasuk dibelasah 0-6 oleh Indonesia.

Namun beliau ketika itu masih mahu menerajui FAM kerana menganggap, meletakkan jawatan merupakan satu 'tindakan seorang pengecut'.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SOneyKX7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan