Sabtu, 17 Disember 2016

Rahman janjikan persembahan terbaik pemain

ARKIB : 23/03/2000
 
ABDUL Rahman Ibrahim (kiri) bersama dua anak buahnya, Idris Karim (tengah) dan B. Rajinikandh sewaktu latihan skuad bola sepak kebangsaan di Stadium Shah Alam, semalam. Skuad negara dalam persiapan terakhir untuk kelayakan Piala Asia, Sabtu ini. - Gambar IZHAM JAAFAR

WALAU apa pun tanggapan yang dilemparkan, skuad bola sepak kebangsaan tetap akan mempamerkan persembahan seperti yang dirancangkan oleh jurulatih pada kelayakan Piala Asia yang bermula Sabtu ini.

Malah, mereka sudah amat bersedia untuk menerima segala kritikan daripada pelbagai pihak jika gagal memperoleh keputusan yang diharapkan.

''Memang kita jangkakan akan dihujani lagi pelbagai kritikan jika kita gagal mencatat sesuatu pada kelayakan ini.

''Tetapi kami sudah bersedia dan sedang menunggu masa sahaja,'' kata Abdul Rahman Ibrahim.

Menurut jurulatih itu, semua pemain dalam skuad bimbingannya tahu apa yang akan berlaku jika Malaysia gagal pada kelayakan itu.

''Cuma apa yang kami lakukan sekarang ialah terus memperbaiki pasukan dan berusaha keras mengatasi segala kepayahan yang ada dalam pasukan,'' kata Rahman ketika ditemui selepas latihan skuad negara di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad negara menghadapi tugas getir untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia di Lebanon, Oktober ini selepas diletakkan sekumpulan dengan jaguh Asia Tenggara, Thailand selain Korea Utara dan Taiwan.

Bola sepak menjadi perhatian selepas kegagalan demi kegagalan pada peringkat antarabangsa.

Paling terbaru kegagalan mereka buat kali keempat berturut-turut ke separuh akhir pada pentas Sukan SEA di Brunei, tahun lalu.

Malah, skuad negara dimalukan dengan kekalahan 6-0 kepada Indonesia dan 2-1 kepada Singapura.

Skuad negara semalam berlatih di Stadium Shah Alam untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang perlawanan untuk kelayakan nanti.

Malaysia bertemu Taiwan pada perlawanan pertama pada Sabtu, menentang Korea Utara pada Isnin dan bertemu Thailand pada Selasa depan sebelum bertolak ke Bangkok untuk pusingan kedua pada 4-8 April.

''Semua pemain kini hanya menunggu masa. Mereka akan sajikan persembahan terbaik mereka,'' yakin Rahman.

Sebanyak 20 tonggak disenaraikan Rahman termasuk penjaga gol, Mohd. Yazid Yassin selepas menggugurkan Lim Chan Yew dan Ramos akibat kecederaan.

Dalam latihan semalam, Rahman mencuba kesebelasannya dengan meletakkan pengganti Chan Yew di barisan pertahanan, Shamsul Amri Abu Bakar.

''Shamsul juga menunjukkan kesediaan tinggi untuk membantu pasukan,'' kata Rahman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6wLBvkc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan