Khamis, 15 Disember 2016

Pertemuan klasik antara dua musuh tradisi

ARKIB : 07/02/2000
SINGAPURA mengharapkan permulaan yang baik di alaf baru apabila bertemu pasukan jiran, Malaysia dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Singapura hari ini.

Pertemuan klasik antara dua musuh tradisi ini menarik perhatian kerana kedua-dua pasukan kini bersiap menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia.

Singapura akan berada dalam satu kumpulan dengan Jepun, Macau dan Brunei manakala Malaysia dalam kumpulan dengan Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

Malaysia beraksi tanpa dua pemain utama, ketua pasukan, B. Rajnikandh dan penyerang, Rusdi Suparman. Kedua-duanya masih cedera.

Jurulatih Singapura, Vincent Subramaniam mengharapkan kemenangan untuk memberi semangat kepada pemain-pemainnya yang akan bertemu Macau dalam perlawanan kelayakan, 13 Februari ini.

Seperti Malaysia, Singapura juga dalam proses membentuk pasukan mantap.

Pada Sukan SEA Brunei tahun lepas, Singapura mengaibkan Malaysia 2-1, sekali gus menamatkan impian Malaysia untuk ke separuh akhir. Bagaimanapun, Malaysia menebus kekalahan itu apabila mengalahkan Singapura 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Dubai, apabila kedua-dua pasukan mengadakan lawatan ke sana.

''Perlawanan ini penting atas beberapa sebab. Kedua pasukan beraksi dengan beberapa pemain baru. Secara kebetulan juga, kedua-dua pasukan bersiap untuk pusingan kelayakan Piala Asia,'' kata Subramaniam.

''Kita mahu penonton menghidupkan semula 'Sorakan Kallang' yang begitu popular suatu masa dulu.

''Saya yakin para peminat mahu menyaksikan perlawanan ini, yang pastinya akan ada pasukan yang menang, kerana sebuah trofi telah disediakan bersama wang tunai S$10,000 kepada pemenang perlawanan ini,'' kata Subramaniam.

Antara pemain yang dikenali dalam barisan Singapura ialah penjaga gol Rezal Hassan, Nazri Nasir, Rafi Ali, Zulkarnain Zainal dan S. Subramani.

Pihak penganjur berusaha menghidupkan 'Sorakan Kallang' yang terkenal suatu masa dulu. Para peminat bola sepak Singapura merasa seperti 'kehilangan' selepas pasukan republik itu terkeluar dari menyertai Liga Malaysia.

Jurulatih Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim dijangka menurunkan Zuraimi Hassan sebagai penjaga gol bersama Abdul Ghani Malek, Rosdi Talib, Shamsul Amri dan Zami Mohd Noor di bahagian pertahanan.

Ahmad Shahrul Azhar, Idris Karim, Ramos Sari dan Anuar Jusoh juga mungkin diturunkan sebagai pemain tengah manakala Khalid Jamlus dan pemain baru Nizaruddin Yusof di bahagian depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SuMTwzu8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan