ARKIB : 07/04/2000
BANGKOK - Kemenangan besar 4-1
Korea Utara ke atas Malaysia pada perlawanan kedua pusingan kedua kelayakan
Piala Asia semalam, lebih banyak dibantu oleh pengadil perlawanan yang
dikatakan membuat keputusan-keputusan yang boleh dipertikaikan.
Jurulatih negara, Abdul Rahman
Ibrahim berkata, gol pertama dan kedua Korea Utara yang dibenarkan oleh
pengadil boleh dipersoalkan bukan sahaja pemain tetapi penonton.
''Saya bukanlah jenis orang
yang suka membuat komen tentang pengadil tetapi anda semua (wartawan) melihat
perlawanan tadi dan anda boleh tafsirkan sendiri,'' kata Rahman selepas
perlawanan itu di Stadium Supphachalasai, Bangkok semalam.
Skuad negara bagaikan
'dianiaya' dengan keputusan-keputusan berat sebelah pengadil perlawanan
terutama dua penjaga garisan sepanjang 90 minit perlawanan yang menyebabkan
pemain hilang semangat.
Malah, keputusan mereka bukan
sahaja dipertikaikan oleh pemain tetapi sebahagian besar penonton yang
menyaksikan perlawanan itu.
Korea Utara memperoleh gol
pertama pada minit ke-15 setelah penjaringnya, Ri Kyong Min berjaya melepasi
perangkap ofsaid Malaysia dan gol kedua jaringan Ryang Kyu Sa minit ke-47 turut
dihasilkan menerusi aksi yang sama.
Perlawanan itu diadili oleh S.
Kennedy dari Singapura manakala dua penjaga garisan ialah Wickeramalunga M.M.
dari Sri Lanka dan Abeer Ismail dari Maldives.
''Dua gol itulah yang
menyebabkan pemain nampak macam hilang semangat terutama 20 minit terakhir
perlawanan. Keputusan pengadil itu memberi tekanan kepada mereka sehingga gagal
beraksi dengan tenang,'' kata Rahman.
Menurut jurulatih itu, barisan
negara bermain baik pada babak pertama ketika kedudukan terikat 0-0 sehingga
pengadil membuat keputusan-keputusan yang banyak memihak kepada Korea Utara.
''Ketika itulah pemain mula
hilang tumpuan dan sering menyerbu pengadil mempersoalkan keputusannya.
Sepanjang 70 minit mereka bermain bagus tetapi bila 20 minit terakhir, mereka
bermain dengan tekanan,'' katanya.
Begitupun Rahman mengakui,
pemain-pemain kurang kekuatan mental walaupun kesihatan mereka kian meningkat
apabila menghidap batuk dan selesema.
Malaysia ketinggalan 1-0
selepas 15 minit permainan pertama sebelum pemain tengah Ooi Hoe Guan
menyamakan kedudukan minit ke-26 dan kedudukan itu kekal sehingga rehat.
Bagaimanapun, Korea Utara
menggandakan jaringan minit ke-47 untuk kedudukan 2-1 dan dua gol menerusi Ri
Hyok Chol minit ke-72 dan 83 menamatkan terus cabaran skuad negara. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TFjWYccK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan