ARKIB : 07/03/2000
SKUAD bola sepak kebangsaan
tewas 3-1 kelmarin kepada kelab Northern Spirit pada perlawanan pertamanya
dalam rangka lawatan ke Australia tetapi Abdul Rahman Ibrahim masih boleh
berpuas hati dengan tahap saingan yang dipersembahkan anak-anak buahnya.
Secara keseluruhannya, pasukan
negara berjaya memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah pada perlawanan di
Christie Park itu tetapi dua gol yang menerjah jaring Malaysia pada separuh
masa kedua membuatkan saingan skuad negara terjejas, jelas Abdul Rahman.
Menurut beliau, perlawanan itu
menyaksikan permainan pantas tuan rumah yang memaksa anak-anak buahnya bekerja
keras untuk memberikan saingan.
''Pasukan tuan rumah nyata
begitu cergas kerana mereka sedang memasuki pertengahan musim liga tempatan,
jadi para pemainnya berada pada tahap kecergasan terbaik, katanya ketika
dihubungi di Australia semalam.
''Walaupun kita terperangkap
beberapa kali tetapi para pemain berjaya menyusun semula gerakan untuk
mengekang tuan rumah,'' katanya lagi.
Tambah beliau, anak-anak
buahnya dipaksa bertahan sepanjang 20 minit pertama tetapi berjaya
mententeramkan diri untuk menghalang setiap asakan tuan rumah.
Bagaimanapun, pasukan negara
akhirnya terperangkap dengan satu serangan pantas yang menyaksikan Anuar Jusoh
memberikan sepakan penalti kepada Northern Spirit setelah mengkasari seorang
penyerang lawan.
Sepakan penalti itu
disempurnakan dengan baik tetapi gagal mematahkan semangat pasukan negara.
Malaysia sebaliknya bermain
dengan lebih kemas dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Shahrul
Azhar.
''Kami kemudiannya membuat
beberapa pertukaran pada separuh masa kedua yang menjadikan permainan kedua-dua
pasukan lebih terbuka. Kami bermain dengan lebih baik dan pemain-pemain semakin
yakin dengan aksi mereka,'' ujar beliau.
Katanya, dua pemain sayap,
Ramos Sari dan Md. Noor Derus berjaya memberikan tekanan kepada pertahanan tuan
rumah untuk membuka beberapa peluang kepada barisan serangan namun sentuhan
penyudah agak lemah.
Penyerang tuan rumah
bagaimanapun lebih bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan dua gol dalam
tempoh 15 minit terakhir permainan.
"Secara keseluruhannya,
walaupun para pemain kita agak lewat membaca corak permainan Northern Spirit
tetapi mereka masih berupaya memberikan saingan ke atas para pemain lawan yang
jauh lebih besar saiz fizikalnya,'' katanya.
Beliau memuji permainan
cemerlang ketua pasukan, Zami Mohd. Noor, Ahmad Shahrul dan Ramos sementara
pemain lain turut menunjukkan pesembahan baik.
Hari ini, pasukan negara akan
bermain dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Parmatta Power FC
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4T4CwxxNj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan