Isnin, 5 Disember 2016

FIFA turut denda FAM -- Malaysia terlepas peluang kutip 3 mata

ARKIB : 27/06/1999
MALAYSIA terlepas peluang mengutip tiga mata ihsan apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan kedudukan 1-1 dalam perlawanan tertangguh menentang Nepal ketika kelayakan Olimpik kumpulan enam Asia di Hong Kong, 20 Jun lalu sebagai keputusan yang muktamad.

FIFA sebaliknya turut mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak AS$5,000 (RM19,000) berikutan insiden penyokong Nepal mencerobohi padang sebaik sahaja pasukan mereka menjaringkan gol penyamaan ketika permainan sebenar berbaki seminit.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini berkata, skuad negara mempunyai peluang cerah mendapat tiga mata percuma dan kemenangan 3-0 kerana penyokong Nepal yang memulakan insiden itu.

Menurut laporan AFP semalam, FIFA juga mendenda Persatuan Bola Sepak Nepal sebanyak AS$10,000 (RM38,000).

Laporan itu menambah, Persatuan Bola Sepak Hong Kong turut didenda AS$15,000 (RM57,000) kerana gagal mengawal keadaan dan mengabaikan soal keselamatan di Stadium Hong Kong, gelanggang perlawanan itu.

Ketika insiden itu, dua pemain Malaysia dikejarkan ke hospital apabila diserang oleh sekurang-kurangnya 100 penyokong Nepal yang mencerobohi padang.

Lima pemain Malaysia tercedera antaranya Megat Amir Faisal, Sany Fahmy dan Rafdi Rashid setelah ditumbuk dan disepak di stadium yang cuma menempatkan 20 anggota polis Hong Kong.

Hong Kong mempunyai kelompok besar masyarakat Nepal yang berasal daripada penempatan Tentera Gurkha Britain sebelum pulau jajahan itu dikembalikan kepada China pada 1997.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RxPv6IkU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan