ARKIB : 24/06/1999
KETUA jurulatih bola sepak
Olimpik Iraq, Nizar Selman berkata, pasukannya berasa amat bertuah dapat
mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia.
''Kami tahu Malaysia sedang
berusaha untuk membentuk semula pasukan yang baik dan tentunya semangat mereka
sekarang di tahap begitu tinggi.
''Secara tidak langsung ini
adalah peluang terbaik untuk memperkemaskan pasukan sendiri,'' katanya.
Menurut jurulatih itu, Iraq
berada dalam kedudukan getir pada kelayakan kumpulan dan berharap perlawanan
dengan pasukan kebangsaan Malaysia dapat memperlihatkan lagi kelemahan mereka.
''Menerusi perlawanan segetir
inilah kami dapat memperbaiki segala masalah dalam pasukan baik dari segi
taktikal atau teknikal,'' katanya.
Skuad muda dari negara teluk
itu hadir ke Malaysia Isnin lalu untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan
dengan skuad negara bimbingan Abdul Rahman Ibrahim di Stadium Merdeka, Jumaat
ini.
Sebelum ke Malaysia, skuad itu
telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Vietnam dan China dan
mencatat keputusan yang memberangsangkan apabila menang kesemua perlawanan
kecuali tewas 1-3 kepada skuad kebangsaan China.
''Semua perlawanan itu memberi
pengalaman berguna dan kami harap Malaysia juga mampu memberikan pengajaran
terbaik,'' katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Polis di padang
Pulapol, Kuala Lumpur, semalam.
Olimpik Iraq yang sebahagian
besarnya dibarisi pemain yang beraksi dalam liga utama negara itu dan baru
dihimpunkan bulan lalu, menang 2-0 pada perlawanan itu. Gol dijaringkan
penyerang berbisanya, Hashim Muhammader dan Ahmed Sabie.
Iraq diletakkan dalam Kumpulan
Tiga pada pusingan kelayakan Asia bersama Jordan dan pasukan pilihan Arab Saudi
yang bermula bulan depan.
Manakala Malaysia dalam rangka
persiapan menghadapi Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
Ditanya mengapa Asia Timur
menjadi pilihan Iraq untuk perlawanan persahabatan, Nizar berkata pasukan Asia
terutama China dan Jepun semakin meningkat maju dan Malaysia juga dianggap
pasukan yang hebat.
''Kita memerlukan perlawanan
yang kompetetif dengan pasukan yang matang untuk menyediakan pasukan yang
baik,'' ujarnya.
Mengenai persiapan pasukan,
Nizar berkata sebelum ke Asia, pasukannya hanya sempat berlatih bersama dua
kali dalam seminggu bermula bulan lalu.
''Semua pemain terbabit dengan
liga dan sukar bagi kami menghimpunkan mereka untuk latihan.
''Masa untuk menyediakan
pasukan ini memang tidak mencukupi tetapi kami percaya pengalaman dalam liga
menjadi aset penting bagi pasukan,'' ujarnya.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rx3y6R2z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan