ARKIB : 03/08/1999
JURULATIH kebangsaan, Abdul
Rahman Ibrahim mengulangi alasannya dengan menganggap kurangnya perlawanan yang
kompetitif dalam tempoh dua tahun ini menyebabkan Malaysia sukar memberi
saingan dalam Sukan SEA XX Brunei.
Kekalahan besar kepada
Indonesia pada perlawanan kedua kumpulan B di Stadium Balapan dan Padang,
Bandar Seri Begawan semalam, sebagai petunjuk jelas kepada kekurangan elemen
yang dianggapnya maha penting.
''Berapa banyak perlawanan
persahabatan kita adakan sekali pun saya rasa tiada gunanya. Kita memerlukan
perlawanan yang kompetitif.
''Kita perlu menyertai sebarang
kejohanan atau pertandingan antarabangsa... sekurang-kurangnya 10 atau 12
perlawanan perlu kita harungi jika tidak, kita akan terus di takuk sebegini,''
kata Rahman pada sidang akhbar selepas perlawanan dengan Indonesia, semalam.
Malaysia tewas besar 0-6 dalam
perlawanan itu, sekali gus menutup harapan skuad negara untuk
sekurang-kurangnya memenuhi misi ke separuh akhir.
Kemenangan dalam dua perlawanan
terakhir sekali pun - menentang Kemboja pada Rabu dan Brunei (Jumaat) - tidak
membawa makna lagi jika Indonesia dan Singapura turut mencatat kemenangan.
''Kita hanya mampu bermain
cemerlang dalam perlawanan persahabatan tetapi tidak tandingan sebenar.
''Sepuluh minit pertama permainan
menunjukkan setakat mana kematangan dan kemampuan mereka,'' kata Rahman.
Menurut beliau, kurangnya
tumpuan penuh semasa beraksi merupakan satu lagi punca kegagalan pemainnya.
''Indonesia mempunyai kelebihan
daripada kepantasan selain bermula dengan meyakinkan. Dua gol awal yang
diperoleh memulakan semuanya,'' kata jurulatih itu.
Indonesia tidak menunggu lama
apabila memperoleh dua gol dalam tempoh lapan minit pertama permainan menerusi
Hariyanto Prasetyo dan Rochi Putiray.
Empat gol lagi disumbag pada
babak kedua menerusi Bambang Pamungkas pada minit ke-51 dan 58, Ali Sunan (82)
dan Putiray (84).
Manakala skuad negara langsung
tidak memperoleh peluang apabila dikawal baik oleh pertahanan lawan itu.
''Kita sudah dua tahun tidak
beraksi dalam perlawanan yang kompetitif selepas skuad negara dibubarkan. Ia
memang memberi kesan kepada pemain apalagi inilah pertandingan pertama yang
disertai.
''Kita tidak seharusnya
mengadakan perlawanan persahabatan lagi selepas ini. Pemain perlu mendapat
pendedahan dan pengalaman,'' kata Rahman. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S4OeDsty
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan