Ahad, 4 Disember 2016

Hatem tak gembira rehat sehari

ARKIB : 12/06/1999
HONG KONG - Tanggal 12 Jun begitu penting, yang menandakan bermulanya ujian kelayakan bola sepak Olimpik 2000 Kumpulan Enam (Zon Asia) dengan Malaysia mempunyai masa sehari lagi sebelum berdepan pasukan tuan rumah di Stadium Hong Kong, Isnin ini.

Berbanding pasukan negara, Hong Kong terpaksa bersaing awal apabila bertemu Nepal hari ini, begitu juga Jepun membuka tirai menentang Filipina.

Pastinya skuad Malaysia beruntung, masa rehat 'lebih' sehari bukan sekadar dapat menyiapkan diri malah memberi kelebihan kepada jurulatih skuad Olimpik negara, Hatem Souissi kerana berkesempatan menyaksikan kesemua aksi pasukan musuhnya.

Namun Hatem tidak percaya kepada persiapan saat terakhir kerana skuad Olimpik 2000 Malaysia sememangnya sudah bersiap sedia terlalu lama termasuk menjalani latihan dan perlawanan sama ada di dalam atau luar negara.

''Kelebihan satu hari apa yang boleh dilakukan kerana untuk menghadapi lawan handalan seperti Jepun, pasukan negara perlu bersedia lebih awal,'' kata beliau di sini.

Hatem berkata, Malaysia seharusnya mampu mempamerkan aksi menarik kerana dapat menurunkan kesemua pemain terbaiknya yang tidak menghadapi sebarang kecederaan.

Berbanding Malaysia, gelaran skuad handalan Asia membimbangkan Jepun apabila enggan membenarkan media massa membuat liputan sesi latihannya semalam.

Dengan tiga pemain terdiri daripada tonggak yang membantu Jepun menjadi naib juara Piala Dunia Belia April lalu, pasukan itu menyifatkan kesemua pasukan berbahaya termasuk Nepal dan Filipina.

Pengurus pasukan, Kuniya Daini berkata, Jepun tidak begitu mengetahui kekuatan sebenar sesebuah pasukan lawan terutama Filipina yang kali terakhir bertemu 13 tahun lalu.

''Tempoh 13 tahun pasti tidak sama, malah setiap pasukan tentunya mengadakan persiapan rapi sebelum kejohanan ini (kelayakan Olimpik),'' kata beliau.

Apapun sudah sampai masanya skuad negara mengembalikan kecemerlangan yang sudah ditagih terlalu lama sepanjang tempoh skuad Olimpik 2000 dikumpulkan sejak 1996.

Bagaimanapun, kelebihan itu perlu disertai usaha keras ''bala tentera'' Hatem jika ingin mencapai kejayaan awal. Perlawanan kedua lebih perit kerana berlangsung di gelanggang pasukan handalan Asia, di Tokyo, Jepun, bermula 26 Jun.

Pemain skuad Olimpik negara tidak mempunyai pilihan selain memastikan kedudukan selesa di Hong Kong supaya laluan ke temasya di Sydney terbuka luas selepas kempunan dalam kempen lalu menerusi kegagalan pasukan bimbingan Claude Le Roy.

Kehadiran Malaysia di Hong Kong membayangkan persiapan rapi kerana Hatem mahukan kejayaan bukan sekadar mendapat pendedahan yang mungkin lebih tepat bagi skuad Nepal dan Filipina. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rr2fosRK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan