ARKIB : 26/03/2000
PEMAIN gantian, Rusdi Suparman
menjaringkan dua gol pada lewat permainan ketika Malaysia mencatat kemenangan
3-0 ke atas Taiwan pada perlawanan pertama bola sepak kelayakan Piala Asia
kumpulan 8 di Stadium Shah Alam semalam.
Begitupun, aksi skuad negara
menerima ejekan daripada kira- kira 18,000 penonton yang kurang gembira dengan
corak permainan Malaysia.
Skuad negara disorak apabila
pemain sayap, Mohd. Noor Derus menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-34
hasil sepakan bebas menuju tepat ke dada Yang Cheng Hsing tetapi dakapan
penjaga gol lawan itu tidak kemas dan bola meleret masuk.
Namun, aksi agak buruk pada
babak kedua menyaksikan penonton mengejek barisan pemain negara sepanjang
tempoh 20 minit terakhir dan memberi sokongan padu kepada Taiwan setiap kali
pasukan lawan itu menyerang.
Mujur Rusdi, penyerang Selangor
yang dibawa masuk menggantikan Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-75, kembali
memberi harapan dengan jaringan kedua minit ke-83 dan 86.
Malaysia menguasai permainan
babak pertama dengan tolakan- tolakan pendek dan kemas tetapi bagaikan hilang
rentak dengan banyak membuat kesilapan pada babak kedua.
Gandingan penyerang, Zami Mohd.
Noor dan Nizaruddin pada mulanya bermain baik tetapi Nizaruddin bagaikan hilang
arah pada babak kedua dengan banyak melakukan kesilapan.
Begitu pun, barisan pertahanan
yang diterajui Abdul Ghani Malek dan Shamsul Amri Abu Bakar bermain cemerlang
dengan benteng terakhir, Mohd. Sany Fahmi tidak perlu bersusah payah.
Anuar Jusoh memulakan aksi
menyerang menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti tetapi percubaan
pemain tengah itu lemah dan mudah ditangkap penjaga gol Taiwan, Yang Cheng
Hsing.
Zami seharusnya mampu
menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol pada babak pertama dan kedua tetapi
setiap percubaannya tersasar daripada gawang lawan.
Zami berjaya melepaskan sepakan
ke gawang Taiwan pada minit ke-24 tetapi bola dihalang pemain lawan dan Mohd.
Noor gagal menyambar bola muntah.
Ketua pasukan negara itu sekali
lagi dihidangkan peluang terbaik di depan pintu gol seminit kemudian namun
kuisannya ditampan ketua pasukan Chang Kuo Chen.
Malaysia mula bermain
kucar-kacir pada babak kedua biarpun jarang diasak Taiwan apabila terlalu
banyak kesilapan hantaran yang tidak tepat.
Sehinggalah Rusdi yang dibawa
masuk jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, memberi persembahan cemerlang dengan
jaringan pertama menerusi first timer dan tandukan gol keduanya empat minit
sebelum tamat perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan,
pasukan pilihan, Thailand memulakan kempen dengan aksi hambar apabila sekadar
seri tanpa jaringan dengan Korea Utara pada perlawanan terdahulu.
Bagaimanapun keputusan itu
seharusnya melegakan Thailand selepas diasak hebat oleh Korea pada sepanjang
babak pertama.
Mereka hanya bangkit pada babak
kedua tetapi lebih banyak menerusi serangan-serangan balas pantas.
MALAYSIA: Mohd. Sany Fahmi,
Abdul Ghani Malek, Shamsul Amri Abu Bakar, Bahtiar Othman, Hairul Nizam Hanif,
B. Rajinikandh, Anuar Jusoh, Ahmad Shahrul Azhar (Rosdi Talib), Mohd. Noor
Derus (Idris Karim), Mohd. Nizaruddin Yusof (Rusdi Suparman), Zami Mohd. Noor.
TAIWAN: Yang Cheng Hsing, Chang
Kuo Chen, Wu Ching Wen, Chang Yao Ming (Chen Kuei Jen), Cheng Yung Jen, Tsai
Kui Kai, Hsu Te Ming, Huang Che Ming, We Chun I, Hsu Jui Chen (Chen Jeng I),
Sheu Sheau Bao.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T71Zftxw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan