Sabtu, 17 Disember 2016

Malaysia kurang pengalaman -- Gempur Korea lebih perit - Rahman


 

ARKIB : 27/03/2000
Malaysia kurang pengalaman -- Gempur Korea lebih perit - Rahman
PEMAIN pertahanan Malaysia, Bahtiar Othman (nombor 5) terjatuh ketika cuba merampas bola dari kawalan penyerang Taiwan, Hsu Jui Chen ketika bertemu pada pusingan kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan di Stadium Shah Alam kelmarin.

KEMAMPUAN Korea Utara menyekat Thailand mengutip mata penuh semalam menjanjikan cabaran lebih sukar kepada pasukan negara, kata jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yang mendapat kemenangan moral ke atas Taiwan kelmarin.

Korea Utara dan Thailand seri tanpa jaringan sementara Malaysia membelasah Taiwan 3-0 dalam perlawanan pertama masing-masing pada pusingan kelayakan Piala Asia kumpulan lapan yang sedang berlangsung di Shah Alam.

Abdul Rahman berkata, Korea Utara juga membuktikan ia bukanlah pasukan yang boleh dipandang remeh apabila mencipta lebih banyak peluang berbanding Thailand yang gah dengan rekod muncul juara Sukan SEA sebanyak lima kali berturut-turut.

''Ini menunjukkan kepada kita betapa peritnya perlawanan yang akan kita lalui esok (malam ini) katanya di Shah Alam semalam.

Korea Utara mempunyai rekod paling cemerlang di kalangan negara-negara Asia apabila ia melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia 1966 di England.

Bagaimanapun, sejak itu bola sepak Korea Utara tidak lagi begitu menonjol sehinggalah mereka muncul pada Sukan Asia di Chiang Mai dua tahun lalu.

Ia mara ke pusingan kedua peringkat kumpulan tetapi bukan lagi sebagai pasukan yang digeruni walaupun pernah layak ke separuh akhir Piala Asia 1980 di Kuwait.

Dua tahun kemudian Korea Utara mara ke pusingan akhir Piala Asia di Jepun tetapi terkandas pada pusingan pertama.

Bagaimanapun rasa gerun yang ditimbulkan oleh Korea Utara menerusi rekod dan persembahan terkininya sedikit sebanyak dikendurkan oleh kemenangan moral pasukan tuan rumah ke atas Taiwan.

Menurut Abdul Rahman, pasukan yang dibimbingnya sejak Disember tahun lalu mempunyai segala asas yang diperlukan, hanya tidak mendapat banyak pendedahan pada peringkat antarabangsa.

Jelasnya, pasukan negara mempunyai ramai pemain yang mewakili Malaysia buat kali pertama pada pertandingan ini dan kekurangan pengalaman mereka terserlah ketika menentang Taiwan.

''Kita bermain dengan cukup baik dalam tempoh 20 minit pertama tetapi selepas itu para pemain mula melakukan kesilapan,'' akui Abdul Rahman mengenai persembahan anak buahnya kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Korea Utara, Mun Ki Nam tetap merendah diri mengenai peluang pasukannya di sebalik kejayaan mencuri satu mata ketika bertemu Thailand kelmarin.

''Malaysia mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri sementara para pemain saya masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca di sini.

''Malaysia juga telah menunjukkan permainan yang bagus dan mereka juga adalah pasukan yang perlu dihormati,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T75nmhG5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan