ARKIB : 05/10/1999
BEKAS jurulatih skuad Olimpik
2000, Hatem Souissi menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak
lagi menoleh ke belakang ketika membangunkan semula sukan bola sepak di negara
ini.
Jurulatih dari Tunisia itu
berkata, sudah sampai masanya FAM memandang jauh ke depan dan tidak lagi
menjadikan masa-masa silam sebagai subjek utama mereka dalam usaha memulihkan
sukan itu.
''FAM tidak harus terus dengan
sikap membanding-bandingkan bola sepak masa lampau Malaysia dengan keadaan masa
kini, sebaliknya menumpukan program-program corak baru dan terkini lebih
serius.
''Kita harus akui bola sepak di
negara ini jauh ketinggalan dan pembaharuan dalam apa sahaja aspek harus diterapkan,
tanpa memandang lagi ke belakang,'' katanya.
Hatem berkata demikian pada
sidang akhbar terakhirnya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Kontraknya dengan FAM berakhir
31 Disember ini, tetapi memilih menamatkannya lebih awal selepas menabur khidmat
hampir lima tahun bersama badan induk bola sepak negara itu. Dia dijangka
berlepas pulang ke Tunisia esok.
Hatem, 45, mula berkhidmat pada
1994, membimbing pasukan muda negara menghadapi Kejohanan Belia Dunia yang
berlangsung di Malaysia pada 1997.
Dalam kejohanan itu, Malaysia
yang diletakkan dalam kumpulan A bersama Uruguay, yang muncul naib juara
kejohanan, Maghribi dan Belgium, menamatkan cabaran lebih awal dengan tewas
dalam semua perlawanan kumpulan.
Malaysia tewas 3-1 kepada
Uruguay dan Maghribi dan 3-0 kepada Belgium.
Hatem kemudian membawa pasukan
ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2000 di Hong Kong dan Jepun dan sekali lagi
gagal apabila menamatkan cabaran di tempat ketiga Kumpulan Enam Zon Asia di
belakang Jepun dan Hong Kong.
Malaysia cuma mencatat tiga
kemenangan dan dua seri daripada lapan perlawanan dalam kelayakan itu.
Hatem berkata, rakyat Malaysia
juga harus bersabar menunggu pasukan kebangsaan kembali di tahap terbaik.
''Kita akui peminat bola sepak
Malaysia begitu kecewa dengan persembahan pasukan ketika ini... tetapi kita
harus akur dengan tahap pasukan yang baru kita bentuk.
''Kita sebenarnya berada di
landasan terbaik dan saya sendiri dapat lihat beberapa pemain yang baik sudah
dapat dilahirkan.
''Saya percaya suatu hari nanti,
Malaysia akan mempunyai pemain dan pasukan terbaik yang diharapkan,'' kata
Hatem.
Di bawah bimbingannya, Hatem
telah melahirkan beberapa pemain berwibawa yang membawa cabaran pula dalam
skuad senior kebangsaan dan negeri, antaranya Tengku Hazman Raja Hassan
(Pahang), Muhammad Khalid Jamlus (Perak), M. Karunakaran (Kuala Lumpur) selain
penyerang muda berbakat besar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Kedah).
Ditanya apa akan dilakukan
selepas pulang ke negaranya, Hatem berkata: ''Saya adalah jurulatih profesional.
Saya mencintai bidang ini dan saya akan teruskan karier saya di negara
sendiri.''
Pada sidang akhbar itu juga,
Hatem mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada FAM terutama
presiden Sultan Ahmad Shah dan pegawai-pegawai tingginya yang menaruh
kepercayaan penuh sepanjang khidmatnya.
''Walaupun hasil sumbangan saya
begitu kecil, saya harap FAM serta pemain-pemain di bawah bimbingan saya
sedikit sebanyak mendapat manfaat,'' tambahnya.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SOfyFZw0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan