MAC 2016
ARKIB : 01/03/2000
BARISAN skuad bola sepak negara
diketuai penolong jurulatih, Norizan Bakar menjalani latihan ringan di padang
Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Skuad negara berlepas ke Australia malam ini
untuk tiga perlawanan persahabatan dengan kelab utama negara itu sebagai
persiapan kelayakan Piala Asia, hujung bulan ini. - Gambar ZAINI HUSIN
JURULATIH bola sepak
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim semalam menamakan 20 pemain untuk tiga
perlawanan persahabatan dengan kelab utama Australia minggu ini dan
mengetepikan lima pemain atas alasan kecederaan.
Lima pemain yang diketepikan
ialah penjaga gol Mohd. Yazid Yassin, penyerang V. Saravanan, Muhammad Khalid
Jamlus, Idris Karim dan Gilbert Cassidy Gawing.
Saravanan digugurkan kerana
kecederaan hamstring dan bintang Perak itu terpaksa berehat sekurang-kurangnya
dua minggu.
Idris menghidap demam campak
manakala Gilbert cedera pangkal paha. Khalid pula tidak konsisten semasa
perlawanan ujian skuad negara dalam dan luar negara.
Pemain senior, B. Rajinikandh
dan Zami Mohd. Noor yang turut mengalami kecederaan ketika skuad negara menang
4-1 ke atas Negeri Sembilan Sabtu lalu, bagaimanapun berada dalam senarai
Rahman ke Australia.
''Mereka yang diketepikan akan
kembali bersama pasukan apabila skuad pulang dari Australia dan jika kecederaan
masing-masing pulih seperti sedia kala,'' kata Rahman.
Jurulatih itu berharap mereka
yang dipilih ke Australia dapat mempersembahkan kualiti permainan yang
dikehendaki dan mengikut perancangan pasukan.
Katanya, kunjungan ke Australia
adalah usaha terakhir pasukan negara untuk memantapkan pasukan selain
kesempatan baginya untuk menilai kematangan pemain.
''Kita menentang kelab terkuat
di Australia dan sudah pasti kita akan mendapat pengalaman berguna. Kalah
menang tidak menjadi soal ketika itu tetapi saya mahu lihat kematangan pemain
selepas bersama pasukan sejak Ogos tahun lalu,'' kata Rahman selepas latihan
skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Skuad 20 pemain itu ke
Australia sebagai persiapan untuk kelayakan Piala Asia, hujung bulan ini.
Mereka akan berlepas malam ini
dan dijadual menentang kelab Northern Spirit FC pada 5 Mac, Parmatta Power FC
(7 Mac) dan North Sydney FC (9 Mac).
Dalam kelayakan Piala Asia
penghujung bulan ini, Malaysia diletakkan dalam kumpulan 9 bersama juara Sukan
SEA XX, Thailand, Korea Utara dan Taiwan.
Pusingan pertama berlangsung di
Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan Bangkok menganjurkan pusingan kedua pada 4-8
April.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SzVMFNVL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan