ARKIB : 12/10/1999
MUHYIDDIN (dua dari kanan), Wan
Lokman (kanan sekali) bergambar bersama-sama skuad lumba basikal kebangsaan
yang akan menyertai LTdL 2000 selepas majlis pelancaran edisi kelima LTdL oleh
penganjur perlumbaan itu, First Cartel (M) Sdn. Bhd., di Petaling Jaya semalam.
MENTERI Belia dan Sukan, Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata hasrat Sultan Ahmad Shah untuk meletakkan jawatan
sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus dihormati oleh semua
pihak.
Ini kerana, kata Muhyiddin,
baginda pastinya telah membuat pertimbangan yang bernas sebelum menyatakan
hasrat tersebut.
''Kalau alasan untuk menumpukan
kepada tugas sebagai Presiden AFC (Gabungan Bola Sepak Asia) diberikan oleh
baginda, maka ia harus dihormati oleh semua pihak,'' katanya kepada pemberita
selepas majlis pelancaran edisi kelima LTdL oleh penganjur perlumbaan itu,
First Cartel (M) Sdn. Bhd., di Petaling Jaya semalam.
Turut sama dalam sidang akhbar
tersebut adalah Pengerusi Eksekutif First Cartel, Wan Lokman Wan Ibrahim dan
Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF), Alial Mulup.
''Terpulang kepada FAM untuk
tindakan selanjutnya serta mencari penggantinya,'' katanya ketika diminta
mengulas tindakan Sultan Ahmad Shah yang mahu meletakkan jawatan selepas 15
tahun menjadi peneraju badan induk bola sepak negara itu hujung minggu lalu.
Sementara itu, LTdL, telah
melakukan beberapa perubahan pada edisi kelima LTdL 2000 yang akan diadakan
pada 26 Januari sehingga 6 Februari 2000.
Menurut Wan Lokman, laluan
keseluruhan LTdL yang berjumlah 1,640.1km adalah kombinasi di antara laluan
berbukit melalui tanah tinggi serta berliku-liku yang lebih sukar dan laluan
mudah yang rata.
Antara laluan barunya adalah
peringkat kedua - (Alor Setar ke Batu Feringghi), peringkat ketiga -
(Taiping-Sitiawan), peringkat keempat (Lumut-Tanah Rata), peringkat ketujuh
(Kuantan-Kuala Rompin), peringkat kelapan (Mersing-Melaka), peringkat
kesembilan (Melaka-Kajang), peringkat kesepuluh (Kuala Lumpur-Genting Highlands
dan peringkat ke-11 (Shah Alam-Shah Alam).
LTdL 2000 merangkumi
negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan tumpuan kepada Pantai Barat
seperti Perak dan Selangor yang akan melancarkan tahun melawat negeri
masing-masing tahun depan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya
empat pasukan kelab Agro-Adler-Brandenburg (Jerman), Gerolsteiner (Jerman),
Mroz (Poland) dan Panaria-Gaerne (Itali) telah mengesahkan penyertaan mereka
pada perlumbaan ketiga terbesar di dunia itu yang menawarkan hadiah wang tunai
yang bernilai keseluruhannya (RM1.5 juta).
Selain Malaysia,
pasukan-pasukan kebangsaan lain yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah
China, Indonesia, Jepun dan Filipina.
Sementara itu First Cartel
masih mengadakan perbincangan dengan juara bertahan edisi keempat tahun lalu,
Mapei.
First Cartel turut diminta
untuk menaikkan taraf LTdL daripada status 2.4km kepada 2.3km yang akan datang
ini oleh Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) untuk perlumbaan ini.
Namun sebelum menaikkan status
itu, MNCF dan Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) harus menyetujui permohonan
tersebut.
Menurut Alial, MNCF akan membincangkan
perkara tersebut pada mesyuarat persekutuan yang akan diadakan pada pertengahan
November ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SOrwQ4WA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan